Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri sumbang 1,180 lembu korban bantu golongan sasaran

OLEH HAFIZAN TAIB

BATU CAVES, 18 OGOS: Kerajaan Negeri menyalurkan sumbangan 1,180 lembu dengan kos keseluruhan RM6.4 juta bagi membantu golongan memerlukan di Selangor, sempena Aidiladha, tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia adalah program tahunan anjuran Kerajaan Negeri bagi membantu kumpulan sasaran yang dikenal pasti pengurusan masjid dan surau, di Selangor.

“Kerajaan Negeri mengambil inisiatif ini bagi melakukan ibadah korban untuk pihak umat Islam di Selangor yang tidak berkemampuan atau belum pernah melakukannya.

“Pada tahun ini, kita menyumbang hampir 1,200 ekor dengan kos lebih RM6 juta dan mendapat sambutan baik,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan lembu korban sempena Aidiladha peringkat Selangor di Masjid Selayang Baru, Selayang Baru, di sini, hari ini.

KORBAN SELAYANG (5)Beliau berkata, program ibadah korban dijalankan itu dapat mendidik umat Islam khususnya di Selangor untuk menghayati syiar Islam dan menjalin ukhwah dalam kalangan masyarakat.

Sumbangan lembu korban disumbangkan Kerajaan Negeri untuk program tahun ini menyaksikan peningkatan berbanding tahun lalu iaitu 1,100 ekor.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, ia menunjukkan perkembangan baik terhadap program itu dengan pembekalnya juga terdiri daripada usahawan muda, dari seluruh Selangor.

“Tahun ini, sumbangan kita iaitu daripada Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan anak syarikat Kerajaan Negeri meningkat kepada 1,180 ekor berbanding 1,100 pada tahun lalu.

“Berat minimum setiap seekor lembu juga meningkat kepada 260 kilogram (kg) daripada 250 kg,tahun lalu,” katanya.