Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Najib ‘lupa’ sumbangan Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 OGOS: Pimpinan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak disifatkan ‘lupa’ akan sumbangan Kerajaan Negeri apabila melancarkan program Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang, Dengkil, semalam.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, hal itu kerana PPR yang bakal didirikan adalah tanah yang diambil alih oleh Kerajaan Negeri daripada pemaju dengan kos RM15 juta.

Katanya, ia diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan bagi pembangunan projek itu tanpa sebarang bayaran.

“Tanah seluas 30 ekar itu diambil alih oleh Kerajaan Negeri daripada pemaju dengan kos lebih RM15 juta dan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk projek PPR itu tanpa sebarang bayaran. Ia bagi projek perumahan penduduk Taman Permata yang sebelum ini tidak terbela, sejak berpuluh tahun lalu,” katanya.

Iskandar-DanaSel-featuredIskandar berkata, sebelum ini beberapa siri rundingan dibuat oleh Kerajaan Negeri, namun Kerajaan Persekutuan seakan’tarik tali’ dalam isu terbabit.

Katanya, sedangkan ia menjadi kewajipan Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah penduduk kerana projek pembangunan Putrajaya adalah projek mereka, bahkan tanpa kerjasama dan sumbangan Kerajaan Negeri masalah itu tidak akan dapat diselesaikan.

Projek PPR itu adalah sebagai penyelesaian kepada masalah penduduk Rumah Kos Rendah Taman Permata, Dengkil yang dibina untuk bekas pekerja ladang apabila Kerajaan Persekutuan hendak membangunkan Putrajaya.

Rumah kos rendah itu sebelum ini menghadapi masalah keretakan teruk membabitkan struktur bangunan yang dipercayai akibat tanah mendap.

Iskandar turut mengulangi pendirian Kerajaan Negeri untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi kepentingan rakyat tetapi beliau kesal kerana Kerajaan Persekutuan lebih suka bermain politik.

Terdahulu, Najib merasmikan majlis pecah tanah Projek Perumahan Rakyat Ampar Tenang yang bakal memanfaatkan golongan berpendapatan rendah.

Projek PPR Ampar Tenang, Dengkil itu membabitkan kos pembangunan RM60 juta bagi pembinaan 400 unit rumah teres satu tingkat termasuk kemudahan balai komuniti dan tapak rumah ibadat bukan Islam yang dijangka siap, pada Julai 2019.