Categories
SELANGOR

Pengguna disaran manfaat 303 petak parkir percuma

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 OGOS: Pengguna sistem Transit Aliran Ringan (LRT) di sekitar Petaling Jaya disarankan menggunakan kemudahan tempat letak kenderaan percuma yang disediakan berhampiran Stesen LRT Taman Jaya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, R Rajiv berkata, hal itu kerana manfaat terbabit tidak diguna pakai walaupun sudah setahun disediakan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Katanya, 303 petak parkir termasuk tiga parkir untuk Orang Kurang Upaya (OKU) disediakan, namun sehingga kini hanya dipenuhkan dengan kurang dari lima buah kenderaan setiap hari.

“Berbeza dengan tempat parkir di Stesen LRT Asia Jaya, sebanyak 602 petak parkir penuh setiap hari sehinggakan pengguna terpaksa datang awal untuk mendapatkan petak parkir.

“Sedangkan, di kawasan ini tidak digunakan. Mungkin pengguna tidak mengetahui mengenai tempat parkir ini atau sedikit jauh dari stesen,” katanya kepada pemberita.

Rajiv berkata, kawasan parkir itu terletak kira-kira 700 meter iaitu hanya membabitkan lima hingga tujuh minit ke stesen sekiranya berjalan kaki.

“Oleh itu, bagi saya ia bukan alasan untuk pengguna menggunakan tempat letak kenderaan di sini kerana jarak perjalanan tidak jauh dari stesen.

“Ia juga boleh dijadikan tempat letak kenderaan alternatif dan dapat menampung parkir di stesen LRT Asia Jaya,” katanya.