Categories
SELANGOR

Penduduk PJ disaran peka perubahan aliran trafik

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 29 OKT: Penduduk di sini dinasihatkan supaya peka dengan perubahan aliran trafik di Seksyen 17, Seksyen 19 dan Jalan Harapan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran berkata, bagi memudahkan pengguna jalan raya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sudahpun memasang banting bagi tujuan berkenaan.

Katanya, perubahan aliran trafik itu bagi menyuraikan kenderaan serta mengurangkan risiko kemalangan.

“Namun perubahan jalan ini masih dalam peringkat kajian dan MBPJ mengharapkan maklum balas daripada orang ramai dalam tempoh dua minggu, sekiranya ia positif, barulah aliran trafik ini akan dikekalkan,” katanya.

Rajiv berkata, laluan jalan raya di ketiga-tiga lokasi itu tidak pernah berubah sejak 30 tahun lalu.

Katanya, melalui pelan yang dicadangkan pada 9 Oktober itu, pengguna kenderaan dari arah Jalan 19/13B yang hendak masuk ke Seksyen 17 perlu menggunakan laluan baru di Jalan 17/21J, bukannya dari Jalan 17/21L seperti sebelum ini.

Sementara pengguna dari arah Lebuhraya Sprint di Jalan Harapan tidak lagi boleh melencong di Jalan 17/21L.

Bagi pengguna di Jalan Harapan boleh melalui Seksyen 19 melalui Jalan 19/13 berbanding membuat pusingan U di Jalan 19/13B.

Orang ramai boleh menghubungi talian 0162167490 bagi memberi sebarang maklum balas.

Categories
SELANGOR

SPR patut letak lokasi spesifik mengundi

OLEH SABIRAH AZIZ

PETALING JAYA, 17 APR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disarankan meletakkan lokasi mengundi yang spesifik bagi memudahkan pengundi mengenal pasti tempat pembuangan undi mereka.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, R Rajiv berkata, pengundi di kawasan Seksyen 8, 18 dan 1a kini mengalami kekeliruan ekoran pertukaran nama kawasan mengundi di situ.

“Bagi Seksyen 8, kawasan mengundi ditetapkan adalah Jalan Sungai Jernih di mana penduduk tidak berapa pasti lokasi berkenaan.

“Perkara sama turut berlaku bagi pengundi di Seksyen 18 dan 1a yang mendapat lokasi mengundi di Bangunan KKPL.

“Ramai merungut dan beranggapan ia adalah tempat untuk membuang undi sedangkan itu cuma lokasi sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan aktiviti turun padang untuk memberi penerangan kepada pengundi di Jalan 17/10, Seksyen 17 di sini, hari ini.

Rajiv berkata, SPR sepatutnya meletakkan nama lokasi yang senang dikenali penduduk seperti mengekalkan nama lokasi asal.

“Contohnya, menetapkan lokasi asal seperti Seksyen 8, 18 dan lain-lain kawasan yang senang dikenal pasti pengundi,” katanya.

Categories
SELANGOR

ADN persoal tindakan SPR pindah tiga daerah mengundi

 

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 JAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa tidak memindahkan tiga daerah mengundi Parlimen Shah Alam (P108) ke Parlimen Petaling Jaya Selatan (P105) dalam syor persempadanan semula Selangor.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, R. Rajiv berkata, pemindahan itu melibatkan kawasan Glenmarie, Taman Glenmarie dan TTDI Jaya dengan lebih 6,000 jumlah pengundi.

Katanya, ketiga kawasan diselia di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan seharusnya kekal dengan identiti bandar raya Anggerik itu.

“Jika ditanya penduduk pun, mereka akan kata mereka tinggal di Shah Alam, jadi mengapa perlu ditukar ke P105.

“Parlimen Petaling Jaya juga sudah mempunyai jumlah pengundi tinggi dan tiada keperluan lagi untuk penambahan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri pendengaran awam bantahan persempadanan semula SPR, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Rajiv berkata, tindakan itu dilihat hanya memberi kelebihan kepada pihak tertentu untuk memenangi P108 pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

Katanya, tiga kawasan berkenaan pada PRU13 lalu berpihak kepada blok Pakatan.

“Pada PRU13, kita menerima sokongan 63 peratus pengundi di tiga kawasan ini sementara bakinya menyokong sebelah sana.

“Jika berpindah, tentunya ia mengurangkan undi kepada Pakatan di P108 dan dijangka memberi kemenangan kepada pihak lawan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Projek perintis jaga kebersihan di DUN Bukit Gasing

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 21 DIS: Sebanyak 25 tong sampah dipasang di Jalan 1/12 dam Jalan 1/14 berhampiran Jalan Othman, di sini, demi mewujudkan persekitaran bersih di kawasan itu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, R Rajiv berkata, pemasangan semua tong sampah bersaiz kecil itu adalah projek perintis di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing untuk keperluan penduduk tempatan.

“Projek ini kita mulakan di Jalan 1/12 dan Jalan 1/14 dan ia permulaaan di DUN ini juga mungkin di Petaling Jaya.

“Diharapkan selepas ini kemudahan sama akan dapat disediakan di seluruh DUN Bukit Gasing juga Petaling Jaya malah mungkin seluruh Selangor,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, peruntukan bagi kemudahan itu adalah kira-kira RM9,000 daripada Pusat Khidmat Masyarakat PKM) Bukit Gasing dengan kerjasama Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Tan Teck Seng.

Katanya, pemasangan tong sampah itu ditumpukan di kawasan rumah kedai dan kontraktor dilantik MBPJ akan menjalankan kerja mengangkut sampah setiap hari.

“Orang ramai diminta bertanggungjawab dan menggunakannya dengan baik supaya kita dapat menjaga kebersihan di sini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Amalan kitar semula bantu kurang penghasilan sampah

OLEH SABIRAH AZIZ

PETALING JAYA, 30 NOV: Semua rumah di kawasan Seksyen 12, di sini perlu mengamalkan pembuangan sampah secara berasingan bagi mengurangkan penghasilan sampah di samping memelihara alam sekitar.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran berkata, setiap penduduk perlu memastikan sampah dibuang mengikut kategori bagi memudahkan proses kitar semula dilaksanakan di kawasan itu.

“Program kitar semula ini dilaksanakan setiap tiga kali seminggu bagi sampah yang tidak boleh dikitar semula dan dua kali seminggu bagi sampah yang boleh dikitar semula di kawasan ini.

“Sehubungan itu, kita akan mengasingkan sampah untuk dikitar semula bermula 4 Disember ini.

“Saya harap penduduk di kawasan ini berterusan menjalankan pengasingan sampah dalam aktiviti kitar semula ini yang dilihat banyak manfaatnya sekali gus dapat mengurangkan bilangan sampah,” katanya kepada Selangor Kini selepas menjayakan projek kitar semula di kawasan itu.

Rajiv berkata, pihaknya turut mengedarkan 600 risalah kepada setiap rumah untuk menggalakkan pelaksanaan program kitar semula di kawasan itu.

Turut hadir ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Lim Yi Wei.

Categories
SELANGOR

Pengguna disaran manfaat 303 petak parkir percuma

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 OGOS: Pengguna sistem Transit Aliran Ringan (LRT) di sekitar Petaling Jaya disarankan menggunakan kemudahan tempat letak kenderaan percuma yang disediakan berhampiran Stesen LRT Taman Jaya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, R Rajiv berkata, hal itu kerana manfaat terbabit tidak diguna pakai walaupun sudah setahun disediakan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Katanya, 303 petak parkir termasuk tiga parkir untuk Orang Kurang Upaya (OKU) disediakan, namun sehingga kini hanya dipenuhkan dengan kurang dari lima buah kenderaan setiap hari.

“Berbeza dengan tempat parkir di Stesen LRT Asia Jaya, sebanyak 602 petak parkir penuh setiap hari sehinggakan pengguna terpaksa datang awal untuk mendapatkan petak parkir.

“Sedangkan, di kawasan ini tidak digunakan. Mungkin pengguna tidak mengetahui mengenai tempat parkir ini atau sedikit jauh dari stesen,” katanya kepada pemberita.

Rajiv berkata, kawasan parkir itu terletak kira-kira 700 meter iaitu hanya membabitkan lima hingga tujuh minit ke stesen sekiranya berjalan kaki.

“Oleh itu, bagi saya ia bukan alasan untuk pengguna menggunakan tempat letak kenderaan di sini kerana jarak perjalanan tidak jauh dari stesen.

“Ia juga boleh dijadikan tempat letak kenderaan alternatif dan dapat menampung parkir di stesen LRT Asia Jaya,” katanya.

Sediakan atap perlindungan, elak kemalangan berulang

Pemaju disaran menyediakan atap perlindungan sementara bagi mengurangkan risiko kemalangan di kawasan pembinaan pusat komersial Seksyen 7, Petaling Jaya

Sabar karenah pembayar cukai, beri khidmat terbaik

Pendekatan ‘people engagement’ penting bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) mendepani cabaran berurusan dengan pembayar cukai.