Categories
NASIONAL

RUU Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2017 diluluskan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 OGOS: Sidang Parlimen meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2017 bertujuan meminda Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau (Akta 164).

Memetik BERNAMA, keputusan itu diumumkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee selepas RUU itu dibacakan kali ketiga oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, sekitar jam 12.40 malam tadi.

Bacaan itu disokong oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri.

Ketika penggulungan perbahasan, Azalina berkata, pindaan itu bertujuan memberi ruang kepada pasangan berkahwin dan sudah memeluk agama Islam atau salah seorang daripada pasangan itu yang masih berada dalam agama Islam untuk memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan, di Mahkamah Sivil.

kahwin-perdana-2Katanya, ia bagi mengelak tindakan sama ada suami atau isteri yang tidak mahu menamatkan sesuatu perkahwinan tetapi tidak menjalankan tanggungjawab terhadap pasangannya, anak-anak atau harta mereka.

Pindaan itu juga katanya, tidak menafikan hak seseorang itu di Mahkamah Syariah sebaliknya menggalakkan sikap lebih bertanggungjawab untuk menceraikan pasangannya, di Mahkamah Sivil.

Terdahulu, Azalina dalam kenyataan menjelaskan pindaan itu juga dibuat bagi memastikan tiada pihak mencabar kesahihan undang-undang itu di bawah Fasal (1) Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan serius dalam membuat pindaan terhadap undang-undang ini demi menjaga keharmonian rakyat yang berbilang kaum dan agama di Malaysia.

“Ia juga bagi memastikan tuntutan seperti hak jagaan dan nafkah anak-anak sehingga ke peringkat pendidikan tertinggi adalah terpelihara dan terjamin,” katanya.