Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Gadis jadi penghantar makanan, simpan wang untuk berkahwin

SHAH ALAM, 16 OGOS: Khidmat penghantar makanan lazimnya sinonim dengan lelaki, namun seorang gadis membuktikan kemampuan melakukan pekerjaan itu demi mengumpul wang untuk berkahwin.

Malynda Harjono, 24, mula menyertai syarikat p-panggilan Grab Malaysia tahun lalu untuk menjana pendapatan sampingan memandangkan gaji sedia ada sebagai pembantu tadbir tidak mencukupi.

Meskipun berdepan risiko keselamatan terutama ketika cuaca buruk, anak bongsu dari dua beradik itu mengambil dan menghantar pesanan ke rumah pelanggan sekitar Sungai Buloh dan Petaling Jaya.

“Saya buat dua kerja sebab mahu cari wang simpanan kahwin. Bukan saya seorang malah tunang turut melakukan perkara sama, Insya-Allah akhir tahun ini kami akan menamatkan zaman bujang masing-masing.

“Pekerjaan ini sebenarnya banyak bantu saya kerana boleh dapat wang dengan mudah malah pendapatan harian saya mampu cecah sehingga RM200, bergantung kepada jumlah pelanggan dan tempoh waktu bekerja,” katanya kepada Selangorkini.

Malynda antara 600 peserta program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) menerima bantuan kewangan RM500 yang disampaikan EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman di perkarangan Dewan MBSA Seri Pagi, Seksyen U19 di sini semalam.

Anak yatim yang kematian bapa sejak lima tahun lalu akibat kencing manis berkata insentif tersebut membuktikan keprihatinan Kerajaan Selangor terhadap individu yang terlibat dalam sektor ekonomi gig.

“Bantuan ini dimohon selepas dimaklumkan oleh abang ipar dan bersyukur kerana layak. Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang sudi membantu golongan seperti kami, sekurang-kurangnya kami tidak rasa terasing,” katanya.

Muhammad Farrhan Mohammad

Seorang lagi peserta RiDE, Muhammad Farrhan Mohamad Noor Adzhar berkata pandemik Covid-19 menyebabkan dia perlu melakukan dua kerja dalam sehari bagi menyara keluarga terutama ibu bapanya yang tiada mata pencarian.

Pemuda berusia 25 tahun itu berkata dia menghantar makanan ditempah pelanggan Food Panda bermula jam 6 petang hingga 10 malam sebaik selesai tugas sebagai penghantar sampel makmal di sebuah klinik swasta.

“Rutin harian saya agak terbeban tetapi harus diteruskan kerana kos sara hidup ketika ini sangat tinggi ditambah pula dengan Covid-19 yang masih berlarutan dan tidak tahu sampai bila akan berakhir.

“Sebagai individu bujang dan masih memiliki ibu bapa, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mencari wang serta bantu mereka sebaik mungkin tanpa perlu mengeluh,” kata anak bongsu dari tiga beradik yang menetap di Kampung Paya Jaras.

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP: Polis panggil pengurus acara, saksi majlis nikah Neelofa

SHAH ALAM, 29 MAC: Polis akan memanggil pengurus acara majlis pernikahan pelakon, Neelofa hari ini yang didakwa melanggar tatacara operasi piawai (SOP).

Ketua polis Daerah Dang Wangi berkata turut dipanggil ialah beberapa saksi lain termasuk pekerja hotel untuk memberi keterangan, lapor Sinar Harian.

“Kita sudah mengambil keterangan pihak hotel dan hari ini dijangka pengurus acara majlis berkenaan tampil untuk memberi keterangan manakala saksi lain akan dipanggil dalam masa terdekat,” kata Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.

Beliau juga memberi jaminan pihaknya tidak memilih bulu dalam pelaksanaan SOP serta mengambil tindakan sewajarnya selepas kertas siasatan lengkap seterusnya diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Semalam, polis membuka kertas siasatan berhubung majlis pernikahan Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor dengan pendakwah bebas, PU Riz.

Siasatan awal mendapati majlis di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur gagal mematuhi SOP ditetapkan dan tiada penjarakan fizikal.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis siasat dakwaan majlis nikah Neelofa dan PU Riz langgar SOP

SHAH ALAM, 28 MAC: Polis membuka kertas siasatan berhubung majlis pernikahan pelakon, Neelofa dengan pendakwah bebas, PU Riz yang didakwa melanggar tatacara operasi piawai (SOP).

Ketua polis daerah Dang Wangi berkata siasatan awal mendapati majlis itu gagal mematuhi SOP ditetapkan dan tiada penjarakan fizikal, lapor Berita Harian.

“Susulan itu kita akan memanggil penganjur bagi membantu siasatan,” kata Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Semalam, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor dan PU Riz (Muhammad Haris Mohd Ismail) dinikahkan adik Neelofa iaitu Mohd Aqief Mohd Noor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dijemput membacakan khutbah nikah dan tazkirah ringkas.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasangan bukan Islam boleh rentas negeri daftar kahwin

SHAH ALAM, 3 JUN: Bakal pengantin bukan Islam dibenar merentas negeri untuk mendaftar perkahwinan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat  (PKPB).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran itu sama seperti diumumkan ketika awal pelaksanaan PKPB pada 4 Mei lalu.

“Bagi yang bukan Islam, kita benarkan mereka mendaftar (perkahwinan) cuma jumlahnya hanya empat orang iaitu pengantin lelaki dan perempuan serta dua orang saksi,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Kerajaan membenarkan perkahwinan rentas negeri dengan memohon kebenaran polis dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) antaranya tidak bersalaman dan majlis tidak melebihi 20 orang.

Kebenaran turut diberikan kepada jurufoto untuk mengambil gambar pengantin sama ada ketika majlis berlangsung atau praperkahwinan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Tiada majlis kahwin di kuil Seri Kembangan – Polis

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Polis menafikan dakwaan kononnya satu majlis perkahwinan diadakan di sebuah kuil di Seri Kembangan, Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Polis Ismadi Borhan berkata soal siasat terhadap penjaga kuil, tiada aktiviti atau majlis diadakan di kuil itu dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Beliau (penjaga kuil) turut menyatakan bahawa majlis (perkahwinan) dalam rakaman video yang tular tidak berlangsung semalam.

“Tinjauan dan siasatan anggota polis dari Balai Polis Seri Kembangan juga mendapati tiada sebarang aktiviti dijalankan di kuil tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu merujuk rakaman video satu minit yang memaparkan beberapa individu berkumpul dan mengadakan majlis perkahwinan di sebuah kuil di Seri Kembangan.

Ismadi bagaimanapun berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan polis sentiasa memantau aktiviti di rumah ibadat bagi mencegah penularan Covid-19.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan sebuah kuil di Seri Kembangan dipercayai mengadakan majlis perkahwinan yang dihadiri kira-kira 100 individu.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

RUU Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2017 diluluskan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 OGOS: Sidang Parlimen meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2017 bertujuan meminda Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau (Akta 164).

Memetik BERNAMA, keputusan itu diumumkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee selepas RUU itu dibacakan kali ketiga oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, sekitar jam 12.40 malam tadi.

Bacaan itu disokong oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri.

Ketika penggulungan perbahasan, Azalina berkata, pindaan itu bertujuan memberi ruang kepada pasangan berkahwin dan sudah memeluk agama Islam atau salah seorang daripada pasangan itu yang masih berada dalam agama Islam untuk memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan, di Mahkamah Sivil.

kahwin-perdana-2Katanya, ia bagi mengelak tindakan sama ada suami atau isteri yang tidak mahu menamatkan sesuatu perkahwinan tetapi tidak menjalankan tanggungjawab terhadap pasangannya, anak-anak atau harta mereka.

Pindaan itu juga katanya, tidak menafikan hak seseorang itu di Mahkamah Syariah sebaliknya menggalakkan sikap lebih bertanggungjawab untuk menceraikan pasangannya, di Mahkamah Sivil.

Terdahulu, Azalina dalam kenyataan menjelaskan pindaan itu juga dibuat bagi memastikan tiada pihak mencabar kesahihan undang-undang itu di bawah Fasal (1) Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan serius dalam membuat pindaan terhadap undang-undang ini demi menjaga keharmonian rakyat yang berbilang kaum dan agama di Malaysia.

“Ia juga bagi memastikan tuntutan seperti hak jagaan dan nafkah anak-anak sehingga ke peringkat pendidikan tertinggi adalah terpelihara dan terjamin,” katanya.