Categories
AGENDA NASIONAL

Mesyuarat Dewan Negara ditangguh, sembilan RUU lulus

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Mesyuarat ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 Dewan Negara ditangguhkan hari ini selepas tujuh hari bersidang dengan sembilan Rang Undang-Undang (RUU) diluluskan.

Empat RUU yang diluluskan hari ini ialah Rang Undang-Undang Cukai Jualan (Pindaan) 2020, Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2020, Rang Undang-Undang Pelancongan (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-Undang Koperasi (Pindaan) 2020.

Rang Undang-Undang Cukai Jualan (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2020 dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Abd Rahim Bakri.

Sementara Rang Undang-Undang Pelancongan (Pindaan) 2020 dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah, manakala Rang Undang-Undang Koperasi (Pindaan) 2020 oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Abd Rahim ketika membentangkan dua RUU berkaitan cukai jualan dan perhidmatan itu memaklumkan pindaan itu dilakukan susulan pindaan yang telah dilaksanakan terhadap Akta Kastam 1967.

“Pindaan juga dilakukan bagi memperkemas pelaksanaan cukai jualan antaranya dengan menambah baik peruntukan berkaitan pemberhentian tanggungan untuk berdaftar dan pembayaran balik cukai jualan secara tidak wajar.

Mohd Shahar pula berkata Rang Undang-Undang Pelancongan (Pindaan) 2020 melibatkan pindaan terhadap Akta Cukai Pelancongan 2017 (Akta 791) bertujuan untuk melaksanakan langkah cukai yang diumumkan dalam Belanjawan 2021.

Ia bagi memperluaskan skop berkenaan cukai pelancongan ke atas premis penginapan yang ditempah melalui pemberi perkhidmatan platfom digital bagi menyamaratakan layanan cukai pelancongan sedia ada.

Sementara itu, Wan Junaidi memaklumkan Akta Koperasi 1993 telah beberapa kali dipinda dalam usaha untuk memperkukuhkan elemen kawal selia ke atas koperasi oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

“Kementerian berpandangan bahawa Akta Koperasi perlu dipinda bagi ditambah baik bersesuaian dengan perkembangan ekonomi semasa baik di dalam mahupun luar negara.

“Pindaan akta ini akan menjadi pemudah cara kepada gerakan koperasi di negara ini menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar,” katanya.

Semalam, lima RUU yang diluluskan termasuk Rang Undang-Undang Kewangan 2020, Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) 2020, dan Rang Undang-Undang Eksais (Pindaan) 2020.

Turut diluluskan Rang Undang-Undang Zon Bebas (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) (Pindaan) 2020.

Dewan Negara hari ini turut membahaskan isu panas kartel daging haram yang dikemukakan oleh Senator Asmak Husin dengan seramai sembilan orang senator mengambil bahagian sebelum Timbalan Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid menggulung isu itu.

Sebelum mengakhiri sidang terakhir 2020 Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad mengucapkan terima kasih kepada semua Senator yang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan dan menyumbang buah fikiran dalam suasana harmoni.

“Keadaan ini sekali gus menggambarkan nilai-nilai Dewan Negara selaku badan legislatif tertinggi negara,” katanya

Beliau turut mengucapkan selamat tahun baru kepada semua Senator dan berharap 2021 akan membawa kebahagiaan dan kegembiraan kepada semua.

Persidangan dewan disambung hingga ke tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Kerajaan lemah, turuti gaya BN abai demokrasi

SHAH ALAM, 28 OGOS: Sidang Dewan Rakyat yang melabuhkan tirai semalam menyaksikan kelemahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tiada keabsahan serta gagal menterjemah tatakelola beretika.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan yang meraih majoriti sangat tipis itu tidak layak mentadbir, apatah lagi ketika negara memerlukan kepimpinan jitu.

“Tindakan legislatif pertama kerajaan PN saat pandemik Covid-19 di Parlimen adalah menukar Speaker Dewan Rakyat, yang tidak pernah berlaku dalam mana-mana sejarah dunia.

“Apa yang mengekori sejurus itu adalah corak dan gaya pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang mempunyai ciri-ciri tatanan tidak cukup sifat dan roh demokrasi,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Bagaimanapun, Anwar kagum dengan gabungan pembangkang yang menyanjung demokrasi, mempertahankan mandat rakyat dan menyiapkan semak imbang mantap dengan mempersoal setiap tindakan PN.

Menyentuh kelulusan rang undang-undang (RUU), presiden Parti Keadilan Rakyat itu berkata ia pernah dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini, namun dipinda pentadbiran PN.

Beliau berkata cadangan ditolak termasuk pelantikan ketua pembangkang ke dalam Majlis Keselamatan Negara bagi mengelak salah guna kuasa.

“Kerajaan PN menarik balik RUU Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis 2019 untuk mengukuh pengawasan ke atas pasukan polis dan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2019 yang mengehad kuasa dan penggal kedudukan Perdana Menteri bagi mengelak salah guna kuasa.

“Sikap ini seolah-olah mengembalikan amalan bobrok BN yang ditolak rakyat pada pilihan raya umum lalu,” kata Anwar lagi.

Antara RUU dibentang dan dilulus pada sesi kali ini ialah:

1. RUU Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Covid-19 2020
2. RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020
3. RUU Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020

Categories
AGENDA NASIONAL

Gaji pekerja asing, kereta terbang antara isu penting Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Usaha kerajaan mengurangkan kadar guna pekerja asing serta perkembangan terkini pembangunan industri kereta terbang antara perkara yang akan dibincangkan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, isu penggajian pekerja asing yang mendominasi sektor pembuatan dan pembinaan itu akan diajukan oleh Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) kepada Menteri Sumber Manusia semasa sesi soal jawab lisan.

Abdul Azeez juga dijangka bertanyakan keberhasilan usaha mengurangkan kadar pengangguran warga tempatan yang kehilangan pekerjaan akibat Covid-19.

Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (PAKATAN-Lumut) dijadual bertanyakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengenai perkembangan terkini pembangunan industri kereta terbang dan sama ada ia masih diteruskan di bawah kementerian itu.

Selain itu, Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) akan mengajukan soalan mengenai rasional mewujudkan kementerian khusus yang bertanggungjawab ke atas alam sekitar dan air serta objektif dan fokus utama kementerian berkenaan kepada Menteri Alam Sekitar dan Air.

Seterusnya, sidang Dewan Rakyat yang memasuki hari ke-14 ini akan menyambung penggulungan perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, dijangka melibatkan tujuh kementerian.

Pembentangan beberapa rang undang-undang bagi bacaan kali kedua iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020, Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020, Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2019 turut disenaraikan dalam urusan Aturan Mesyuarat.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

RUU pinda hukuman mati dibentang Oktober

SANDAKAN, 13 JULAI: Rang undang-undang bagi meminda hukuman mati mandatori dijangka dibentang pada Oktober ini di Dewan Rakyat selepas kerajaan memutuskan hukuman penjara setimpal bagi menggantikan hukuman maksimum itu yang diperuntukkan bagi 11 kesalahan berat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, untuk itu, satu pasukan petugas akan ditubuhkan bagi mengkaji hukuman pemenjaraan terhadap kesalahan berat berkenaan.

“Ini akan membabitkan peralihan besar dalam dasar hukuman, oleh itu kerajaan memerlukan masa untuk mengkaji dan membuat keputusan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Vui Keong juga berkata pasukan petugas itu akan turut mengkaji semula hukuman penjara seumur hidup sama ada tempoh pemenjaraan dikurangkan antara 10-30 tahun bagi 11 kesalahan berat berkenaan.

Ketika ini, undang-undang memperuntukkan hukuman mati mandatori terhadap kesalahan di bawah Kanun Keseksaan seperti bunuh, rompakan bersenjata dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, dan juga kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Dalam perkembangan lain, Vui Keong berkata, pada Selasa (16 Julai), kerajaan akan membentangkan rang undang-undang untuk meminda Perlembagaan bagi membolehkan rakyat berumur 18 tahun didaftarkan sebagai pengundi secara automatik.

Beliau berkata apabila pindaan itu diluluskan, kira-kira 3.8 juta pengundi baharu termasuk rakyat berumur 18 tahun dijangka mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Selain itu, beliau berkata, pada Rabu kerajaan akan membentangkan rang undang-undang bagi menambah 13 kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah yang baharu kepada 60 kerusi sedia ada.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Parlimen Singapura lulus undang-undang berita palsu

SINGAPURA, 9 MEI: Parlimen Singapura semalam meluluskan rang undang-undang berita palsu selepas perbahasan maraton selama dua hari, menurut The Strait Times.

Pada akhir sesi yang berlanjutan sehingga 10 malam, Rang Undang-undang Perlindungan Daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian diluluskan dengan 72 anggota berkata “ya”.

Manakala kesemua sembilan anggota daripada Parti Pekerja berkata “tidak” dan tiga anggota parlimen (NMP) yang dilantik mengambil pendirian berkecuali, menurut laporan itu.

Laporan dalam talian itu berkata, anggota yang mengundi menyokong rang undang-undang terbabit termasuk semua Anggota Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang hadir di dewan dan beberapa NMP.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan bentang RUU Perbekalan Tambahan (2018) 2019

Categories
NASIONAL

Kerajaan bentang Rang Undang-Undang mansuh GST

SHAH ALAM, 31 JUL: Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 dibentangkan untuk bacaan kali pertama ketika sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Pengguna tidak dikenakan sebarang cukai sejak Kerajaan pakatan Harapan menetapkan sifar peratus bagi kadar GST, sejak 1 Jun lalu, namun vendor masih dikehendaki mematuhi dokumentasi cukai berkenaan.

Rang undang-undang pemansuhan itu bertujuan menamatkan sepenuhnya GST sepenuhnya dan ia dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah, bertujuan memansuhkan akta cukai berkenaan, lapor Malaysia Kini.

Pada masa sama, undang-undang baru menggantikan GST iaitu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) turut dibentangkan.

Pembentangan itu membabitkan RUU Cukai Jualan 2018; RUU Cukai Perkhidmatan 2018; RUU Kastam (Pindaan) 2018 dan RUU Zon Bebas (Pindaan) 2018 bagi membolehkan pelaksanaan SST iaitu sama dengan Akta Cukai Jualan 1972 dan Akta Cukai Perkhidmatan 1975 yang dimansuhkan, pada tahun 2014 .

Melalui RUU Cukai Jualan, ia memperuntukkan cukai dikena dan dilevikan ke atas barang bercukai yang dikilangkan di Malaysia serta dijual, digunakan atau dilupuskan oleh pengilang berdaftar atau barang bercukai yang diimport ke dalam Malaysia oleh mana-mana orang.

Sementara, RUU Cukai Perkhidmatan yang memperuntukkan bagi mengena, melevikan dan memungut cukai perkhidmatan bagi perkara berkaitan dengannya.

Kedua-dua RUU berkenaan memperlihatkan menteri boleh menetapkan kadar cukai yang hendak dikena dan dilevikan serta mengubah atau meminda kadar cukai berkenaan melalui perintah yang disiarkan, dalam warta.

Categories
NASIONAL

RUU Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2017 diluluskan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 OGOS: Sidang Parlimen meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2017 bertujuan meminda Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau (Akta 164).

Memetik BERNAMA, keputusan itu diumumkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee selepas RUU itu dibacakan kali ketiga oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, sekitar jam 12.40 malam tadi.

Bacaan itu disokong oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri.

Ketika penggulungan perbahasan, Azalina berkata, pindaan itu bertujuan memberi ruang kepada pasangan berkahwin dan sudah memeluk agama Islam atau salah seorang daripada pasangan itu yang masih berada dalam agama Islam untuk memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan, di Mahkamah Sivil.

kahwin-perdana-2Katanya, ia bagi mengelak tindakan sama ada suami atau isteri yang tidak mahu menamatkan sesuatu perkahwinan tetapi tidak menjalankan tanggungjawab terhadap pasangannya, anak-anak atau harta mereka.

Pindaan itu juga katanya, tidak menafikan hak seseorang itu di Mahkamah Syariah sebaliknya menggalakkan sikap lebih bertanggungjawab untuk menceraikan pasangannya, di Mahkamah Sivil.

Terdahulu, Azalina dalam kenyataan menjelaskan pindaan itu juga dibuat bagi memastikan tiada pihak mencabar kesahihan undang-undang itu di bawah Fasal (1) Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan serius dalam membuat pindaan terhadap undang-undang ini demi menjaga keharmonian rakyat yang berbilang kaum dan agama di Malaysia.

“Ia juga bagi memastikan tuntutan seperti hak jagaan dan nafkah anak-anak sehingga ke peringkat pendidikan tertinggi adalah terpelihara dan terjamin,” katanya.

Categories
GLOBAL

RUU baru Jepun benar maharaja turun takhta

SHAH ALAM, 19 MEI: Kabinet Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe pada 12 Mei lalu meluluskan rang undang-undang membenarkan Maharaja Akihito untuk turun takhta dan menyerahkan tugas baginda kepada Putera Mahkota Naruhito, lapor agensi berita China Xinhua.

Langkah melepaskan takhta oleh Maharaja Jepun itu pertama kali berlaku, dalam tempoh 200 tahun.

BERNAMA melaporkan, Kerajaan Jepun sebelum ini mempertimbangkan Disember 2018 sebagai tarikh maharaja untuk turun takhta kerana ketika itu baginda akan mencecah usia 85 tahun.

JEPUNMenurut sumber, Maharaja Jepun Akihito mungkin akan kekal menerajui takhta dan perubahan dijangka berlaku, pada awal 2019.

Rang Undang-Undang berkenaan dibuat susulan sebelum ini maharaja pernah menyuarakan hasrat baginda mahu melepaskan takhta dalam beberapa tahun lagi.

Ia akan dikemukakan kepada Diet (Parlimen Jepun) dan dijangka akan berkuatkuasa pada akhir sesi Diet, pertengahan Jun ini.

Pada Ogos lalu, Maharaja Akihito bertitah menerusi siaran televisyen yang jarang berlaku iaitu baginda menzahirkan hasrat mahu melepaskan takhta atas faktor usia dan kesihatan kerana menyukarkan baginda menjalankan tugas rasmi.