Categories
SELANGOR

Selangor sudah ada pendidikan percuma

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 9 OGOS : Kerajaan Negeri sudah melaksanakan dasar pendidikan percuma selepas Pakatan menerajui tampuk pemerintahan negeri pada 2008.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia direalisasikan di bawah Skim Dermasiswa Universiti Selangor (UNISEL).

Beliau berkata, skim berkenaan menawarkan pengajian percuma kepada mahasiswa Unisel di bawah program Asasi.

nik-nazmi“UNISEL memperkenalkan program dermasiswa di peringkat asasi di mana pembelajaran asasi adalah percuma sekiranya pelajar menyambung peringkat sarjana muda di UNISEL.

“Struktur yuran UNISEL juga adalah di kadar berkemampuan berbanding universiti swasta lain dan di bawah IPR (Inisiatif Peduli Rakyat) Selangor juga memberi sokongan pendidikan melalui Hadiah IPT.

“Selain itu Kerajaan Negeri turut menawarkan Tabung Biasiswa Selangorku, Peduli Siswa, bantuan pinjaman pendidikan boleh ubah yang bebas faedah serta Brain Bank, iaitu program biasiswa khas peringkat PhD ke universiti terkemuka luar negara,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos mengadakan demostasi di perkarangan UNISEL Kampus Bestari Jaya kononnya mendesak supaya Kerajaan Negeri melaksanakan sistem pendidikan percuma di negeri ini.

Jamal mendakwa, ia sebagai sebahagian daripada tuntutan manifesto Pakatan dalam Pilihan Raya Umum 13 lalu.

Bagaimanapun, Nik Nazmi berkata, Kerajaan Negeri sudah memperuntukkan belanjawan RM3.4 bilion di bawah IPR yang menyaksikan kira-kira 40 inisiatif untuk kebajikan rakyat Selangor.

Justeru beliau berkata, individu tertentu tidak sewajarnya mempolitikkan isu berkenaan, sebaliknya fokus mempertingkatkan semula taraf pendidikan negara.

“Setelah berpuluh tahun Barisan Nasional memerintah negara, Malaysia bagaikan semakin ke belakang, jadi kita seharusnya menghentikan arus ini.

“Jangan gadaikan masa depan anak kita dengan memilih kerajaan yang langsung tidak menghiraukan kebajikan rakyatnya,” katanya.