Categories
NASIONAL

Tadbir urus lemah, jutaan wang rakyat Johor ‘hilang’ – Salahudin

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 18 OGOS: Puluhan juta wang rakyat Johor boleh diselamatkan sekiranya budaya amanah dan akauntabiliti diamalkan di setiap peringkat pentadbiran negeri itu, kata Salahudin Ayub.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu  berkata, ini kerana Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2016 siri 1 bagi negeri Johor mendedahkan pelbagai kelemahan tadbir urus dan penyelewengan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Johor.

“Keyakinan ini semakin kuat apabila saya meneliti dengan tekun kedudukan Johor menerusi Laporan itu dalam seksyen Pengurusan Aktiviti/Kewangan/Jabatan/Agensi dan pengurusan Syarikat Kerajaan.

Salahudin Ayub“Audit secara khusus dan keras menegaskan Johor berhadapan kelemahan pematuhan prosedur serta dasar kerajaan dalam menguruskan projek,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Salahuddin, laporan itu juga memperincikan amalan tender terus diamalkan Majlis Daerah Kota Tinggi melebihi RM0.5 juta pada tahun 2015 dan 2016.

Selain ketiadaan tender terbuka, beliau berkata, perolehan sebanyak RM4.17 juta dikatakan dipecah-pecahkan kepada jumlah yang lebih kecil.

“Ini menyebabkan kos meningkat, sekaligus mewujudkan budaya kronisme,” katanya.

Dalam pada itu, Salahudin turut memberi contoh lain membabitkan lima perolehan di beberapa pihak berkuasa tempatan melibatkan kos RM0.90 juta masih belum digunakan dan terbiar.

Manakala satu lagi kes membabitkan peralatan gimnasium dibeli pada 2015 yang masih tersimpan dalam kotak serta tidak diagihkan.

“Lebih mendukacitakan, penipuan juga berlaku di mana kontraktor sama tetapi mempunyai nama syarikat yang berbeza-beza demi membolot perolehan ditawarkan kerajaan negeri.

“Audit menyatakan bahawa ‘pemilihan kontraktor adalah tidak memuaskan kerana pemilihan kontraktor di MDP tidak mengikut kriteria yang ditetapkan. Di samping, harga kontraktor yang sama bagi setiap item,” katanya.

Salahudin berkata, Laporan Ketua Audit juga memberikan amaran keras supaya setiap perolehan atau projek tidak lagi dilakukan tanpa melalui tender terbuka serta mestilah memenuhi kriteria yang ketat.

Malah, tiada tindakan manipulasi dalam pemilihan tender dan pengurusan tender.

“Johor berdepan kualiti kerja tidak memuaskan dan kelewatan servis yang menjejaskan kualiti perkhidmatan yang bakal diterima rakyat sedangkan mereka adalah pembayar cukai,”