Categories
AGENDA NASIONAL

Mohamad Sabu kekal terajui AMANAH sesi 2019/2022

SHAH ALAM, 7 DIS: Menteri Pertahanan Mohamad Sabu kekal sebagai Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) bagi tempoh 2019/2022 apabila dipilih dalam mesyuarat khas Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti itu yang diadakan malam tadi.

Turut mengekalkan jawatan adalah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahudin Ayub sebagai Timbalan Presiden AMANAH.

Jawatan Naib Presiden AMANAH pula mengekalkan tiga pemimpin utamanya iaitu Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.

Keputusan pemilihan jawatan-jawatan utama parti itu diumumkan oleh Speaker Amanah bagi penggal 2016/2019, Onn Jaafar sewaktu Konvensyen AMANAH Nasional 2019 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Malam tadi telah diadakan pemilihan secara sistem e-undi melibatkan 821 perwakilan untuk memilih speaker, timbalan speaker dan dua juruaudit serta 27 Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional bagi penggal 2019/2022. Pengumuman pemilihan telah dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Dr Zulqarnain Lukman malam tadi.

Perlembagaan parti memperuntukkan bahawa sebaik keputusan pemilihan diumumkan, speaker hendaklah memanggil satu mesyuarat dalam kalangan 27 orang yang dipilih bersama dengan Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Wanita Muda dan 14 Pengerusi Negeri.

Ia bagi memilih daripada kalangan 27 ahli jawatankuasa itu jawatan presiden, timbalan presiden dan tidak lebih tiga naib presiden.

Presiden pula boleh melantik dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional tidak lebih dua naib presiden, setiausaha agung dan beberapa jawatan lain bagi mentadbir urus parti.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Parti Amanah pilih pimpinan baharu esok

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional 2019 yang bermula esok, selain menjadi medan muhasabah dan pemantapan prestasi, juga buat julung kalinya bakal menyaksikan ahli parti melaksanakan tugas memilih pimpinan baharu, yang akan menentukan hala tuju parti itu.

Dengan kehadiran dijangka seramai 925 perwakilan dari 154 kawasan, konvensyen itu mencuri tumpuan berikutan saingan sengit pemilihan Jawatankuasa Pimpinan Nasional, selain perwakilan turut akan menghangatkan perhimpunan dengan kritikan dan teguran terhadap pimpinan kerajaan daripada parti itu.

Walaupun hanya ditubuhkan pada 2015, hakikatnya parti itu sudah matang dengan suasana politik tanah air kerana ia serpihan daripada PAS, malah dibuktikan dengan gabungannya bersama Bersatu, PKR dan DAP untuk menumbangkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Kerana itu, selain soal pemilihan pimpinan, konvensyen itu juga menjadi tumpuan untuk menilai kekuatan parti itu sebagai sebahagian daripada kerajaan dalam Pakatan Harapan (PAKATAN), yang kini telah memasuki tempoh 18 bulan.

Bagi Naib Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, jika sewaktu awal penubuhan parti itu, ia dianggap parti yang ‘sunyi’ termasuk sewaktu konvensyen tahunan, keadaan itu sudah berbeza dengan pemilihan pimpinan yang dijangka sengit, selain soal kebebasan bersuara untuk mengutarakan pelbagai pandangan.

“Parti Amanah ini mengamalkan kebebasan bersuara, jadi kita boleh tengok paling ekstrem punya cara mengkritik, dengan yang paling lembut punya cara mengkritik. Kami sudah bersedia dengan jangkaan-jangkaan itu,” katanya kepada Bernama.

Mengangkat tema ’Kestabilan Memacu Kemakmuran Bersama’ konvensyen kali keempat itu akan berlangsung selama tiga hari di Ideal Convention Centre, Shah Alam, Selangor.

Pemilihan akan melibatkan masing-masing seorang speaker dan timbalan speaker, dua juruaudit dan 27 Jawatankuasa Pimpinan Nasional bagi tempoh 2019/2022.

Jawatankuasa Pemilihan Nasional Amanah merekodkan 87 calon tersenarai bagi pemilihan 27 Jawatankuasa Pimpinan Nasional dengan hampir kesemua pemimpin tertinggi parti layak bertanding termasuk Presiden Amanah Mohamad Sabu dan timbalannya Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Berhubung usul yang akan dibahaskan, secara umumnya ia akan membincangkan tentang manifesto PAKATAN, keperluan rakyat dan beberapa isu di peringkat nasional, sementara Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN) akan membawa beberapa usul utama.

Antaranya ialah menggesa kerajaan membendung segera penyebaran politik kebencian, kepimpinan wanita untuk semua dan menggesa kerajaan kaji semula situasi kemiskinan di Malaysia.

Mohamad dijadual merasmikan konvensyen itu esok manakala pengumuman keputusan pemilihan Jawatankuasa Pimpinan Nasional akan dibuat pada hari yang sama sebelum diteruskan dengan sesi perbahasan.

Pada Sabtu, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional akan mengumumkan keputusan pemilihan pimpinan tertinggi parti, sebelum sesi perbahasan dan membentangan usul diteruskan.

Pada Ahad pula, tumpuan terarah kepada ucapan penggulungan oleh Jawatankuasa Pimpinan Nasional serta ucapan penangguhan Presiden Amanah.

Pada konvensyen kali ini juga, Sayap Wanita Muda (WARDA), satu-satunya sayap wanita muda dalam PH yang ditubuhkan pada 1 Dis lepas akan hadir dengan status sebagai pemerhati memandangkan ia belum mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tadbir urus lemah, jutaan wang rakyat Johor ‘hilang’ – Salahudin

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 18 OGOS: Puluhan juta wang rakyat Johor boleh diselamatkan sekiranya budaya amanah dan akauntabiliti diamalkan di setiap peringkat pentadbiran negeri itu, kata Salahudin Ayub.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu  berkata, ini kerana Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2016 siri 1 bagi negeri Johor mendedahkan pelbagai kelemahan tadbir urus dan penyelewengan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Johor.

“Keyakinan ini semakin kuat apabila saya meneliti dengan tekun kedudukan Johor menerusi Laporan itu dalam seksyen Pengurusan Aktiviti/Kewangan/Jabatan/Agensi dan pengurusan Syarikat Kerajaan.

Salahudin Ayub“Audit secara khusus dan keras menegaskan Johor berhadapan kelemahan pematuhan prosedur serta dasar kerajaan dalam menguruskan projek,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Salahuddin, laporan itu juga memperincikan amalan tender terus diamalkan Majlis Daerah Kota Tinggi melebihi RM0.5 juta pada tahun 2015 dan 2016.

Selain ketiadaan tender terbuka, beliau berkata, perolehan sebanyak RM4.17 juta dikatakan dipecah-pecahkan kepada jumlah yang lebih kecil.

“Ini menyebabkan kos meningkat, sekaligus mewujudkan budaya kronisme,” katanya.

Dalam pada itu, Salahudin turut memberi contoh lain membabitkan lima perolehan di beberapa pihak berkuasa tempatan melibatkan kos RM0.90 juta masih belum digunakan dan terbiar.

Manakala satu lagi kes membabitkan peralatan gimnasium dibeli pada 2015 yang masih tersimpan dalam kotak serta tidak diagihkan.

“Lebih mendukacitakan, penipuan juga berlaku di mana kontraktor sama tetapi mempunyai nama syarikat yang berbeza-beza demi membolot perolehan ditawarkan kerajaan negeri.

“Audit menyatakan bahawa ‘pemilihan kontraktor adalah tidak memuaskan kerana pemilihan kontraktor di MDP tidak mengikut kriteria yang ditetapkan. Di samping, harga kontraktor yang sama bagi setiap item,” katanya.

Salahudin berkata, Laporan Ketua Audit juga memberikan amaran keras supaya setiap perolehan atau projek tidak lagi dilakukan tanpa melalui tender terbuka serta mestilah memenuhi kriteria yang ketat.

Malah, tiada tindakan manipulasi dalam pemilihan tender dan pengurusan tender.

“Johor berdepan kualiti kerja tidak memuaskan dan kelewatan servis yang menjejaskan kualiti perkhidmatan yang bakal diterima rakyat sedangkan mereka adalah pembayar cukai,”