Categories
NASIONAL

Tun Mahathir ke Terengganu, dedah siri korupsi 1MDB

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 OGOS: Provokasi terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berlaku baru-baru ini tidak mematahkan semangatnya untuk terus menyelongkar korupsi Kerajaan Persekutuan dan didedahkan kepada masyarakat seluruh negara.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Bahrin Shah berkata, iltizam itu diteruskan Tun Mahathir pada siri jelajah ke Terengganu, selepas siri pendedahan pada forum Nothing To Hide, di Shah Alam awal Ogos lalu.

Raja_Kamarul_Bahrin_Shah2Beliau berkata, rakyat Terengganu bakal didedahkan dengan isu kontroversi mega antarabangsa, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang bermula sebagai Terengganu Investment Authority – TIA, di peringkat awal penubuhannya.

“Menyedari betapa rakyat perlu pembelaan atas kehilangan kredibiliti negara dan juga kehilangan kekayaan Terengganu hasil minyak dan gas serta pembaziran meluas perbelanjaan besar negeri sebanyak RM2.2 billion setahun, Tun akan berada bersama rakyat Terengganu.

“Beliau akan berkongsi maklumat dan pengalaman bagaimana Negara dan Terengganu ini boleh dipulihkan kembali.

“Selepas 40 tahun lebih minyak dan gas ditemui di perairan Terengganu, negeri ini masih menjadi 4 negeri termiskin di Malaysia dengan ramai nelayan berpendapatan RM450 sebulan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, memandangkan tempoh Pilihan Raya Umum (PRU14) diadakan dalam tempoh terdekat, ini mungkin menjadi kesempatan terakhir bagi Perdana Menteri paling lama berkhidmat itu untuk bersama rakyat Terengganu.

IMG_20170813_192211-1024x683“Insiden kekacauan di Forum Tun Mahathir di Shah Alam baru baru ini menunjukkan ada sesuatu yang pihak tertentu ingin menghalang Tun menyampaikan maklumat kepada rakyat .

“Rakyat Terengganu diseru datang beramai-ramai untuk mendengar pesanan Tun pada Sabtu malam, 26 Ogos 2017 jam 9 malam, di Pasar Chabang Tiga, Losong, Kuala Terengganu.

“Semoga pesanan Tun serta kehadhiran ramai rakyat Terengganu boleh memulakan satu kebangkitan kesedaran baru untuk merubah lanskap politik negara dan negeri yang makin tenat ini,” katanya.