Categories
PBT SELANGOR

30 laluan Bas Percuma Smart Selangor bentuk jaringan pintar

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 25 SEPT: Sebanyak 30 laluan Bas Percuma Smart Selangor di seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dihubungkan dengan pelbagai jaringan pengangkutan awam seperti komuter, Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Bas Rapid Transit (BRT) dan Express Rail Link (ERL).

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, jaringan pintar (Smart Network) itu memberikan perkhidmatan yang menyeluruh serta mengaplikasikan konsep pengangkutan berasaskan ‘First Mile Last Mile’.

“Dengan adanya kesalinghubungan di antara Bas Smart Selangor dan pengangkutan awam lain seperti komuter, ERL, MRT, LRT dan BRT akan menjadikan sistem pengangkutan awam yang lebih baik, teratur dan menyeluruh.

“Ia pastinya memudahkan lagi perjalanan pengguna pengangkutan awam di Selangor,” katanya.

IMG_3365Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bas Smart Selangor ke-100, di Pintu Masuk Utama Pusat Membeli Belah Sunway Pyramid, di sini, semalam.

Majlis turut menyaksikan pengiktirafan The Malaysia Book Of Records (MBOR) bagi Kerajaan Negeri yang paling banyak menyediakan bas percuma iaitu sebanyak 100 bas.

Chang Khim berkata, pemilihan Bas Percuma Smart Selangor ke-100 di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi laluan SJ04 dibuat berdasarkan usaha gigih PBT itu merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri.

Katanya, dari segi rekabentuk, kelainan bas ke-100 memberikan perspektif luar biasa terhadap pencapaian Kerajaan Negeri bersama MPSJ.

“Istimewanya bas ke-100 di MPSJ adalah kerana Subang Jaya sudahpun mempunyai jaringan pengangkutan awam lengkap iaitu kemudahan komuter berhampiran Subang Parade dan Empire, perkhidmatan BRT Sunway, stesen LRT dan MRT.

“Terbaru, mereka juga dilengkapi perkhidmatan ‘Bike Sharing’ yang kini dalam tempoh percubaan untuk dilaksanakan sepenuhnya pada masa akan datang,” katanya.

=EZY=