Categories
EKONOMI

Harga minyak dunia berubah sedikit

TOKYO 25 SEPT: Harga minyak berubah sedikit pagi ini, dengan mengekalkan keuntungan pada sesi sebelum ini untuk berada pada paras paling tinggi dalam beberapa bulan.

Pertemuan pengeluar utama minyak di Vienna sebelum ini, merumuskan pasaran kini menuju ke arah pengimbangan semula, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), Russia dan beberapa negara pengeluar lain, yang bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran kira-kira 1.8 juta tong sehari sejak awal 2017, berjaya membantu menaikkan harga minyak sekitar 15 peratus dalam tempoh tiga bulan lalu.

“Sejak mesyuarat terakhir kami pada Julai lalu, pasaran minyak meningkat dengan ketara,” kata Menteri Minyak Kuwait, Essam al-Marzouq, yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Bersama, Jumaat lalu.

Minyak mentah Brent bagi penghantaran November naik 1 cent pada AS$56.87 setong pada 0049 GMT, selepas berakhir naik 0.8 peratus pada Jumaat.

Minyak mentah AS bagi penghantaran November susut 4 cents pada AS$50.62, selepas meningkat 0.2 peratus pada Jumaat.
=EZY=