Categories
SELANGOR

Laluan Bas Smart Selangor DUN Sungai Tua ditambah

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 14 JUL: Perkhidmatan Bas Percuma Smart Selangor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua bakal ditambah di beberapa jajaran baru.

Dato Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perkhidmatan laluan baru itu membabitkan beberapa kawasan dan dijangka bermula menjelang akhir tahun ini.

“Saya akan tambah laluan Bas Smart Selangor di Sungai Tua untuk kemudahan penduduk di Wira Damai, Kampung Nakhoda, Kampung Laksamana sampailah ke Stesyen Batu Caves.

“Kemudahan ini dilaksanakan melalui peruntukan DUN Supaya semua lapisan masyarakat dapat menikmati kemajuan dan pembangunan di Selangor,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri DUN Sungai Tua itu berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan Majlis Kesyukuran DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves di sini, hari ini.

Amirudin berkata, laluan baru itu membabitkan pertambahan sebuah bas dan kos keseluruhan sebanyak RM300,000.

Katanya, ketika ini proses pertambahan laluan baru itu berada di peringkat akhir dengan melibatkan rundingan berkenaan jajaran baru.

“Sekarang di peringkat terakhir perlu diselesaikan disebabkan ada beberapa pihak ingin taja dan kita nak selesaikan isu tajaan itu, mungkin kos daripada Pusat Khidmat DUN tidak perlu banyak,” katanya.

Katanya lagi, ADN lain turut boleh mengemukakan cadangan untuk menambah laluan baru di kawasan masing-masing.

=EZY=

Categories
SELANGOR

RM43 juta laksana Bas Percuma Smart Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 NOV: Perbelanjaan perkhidmatan bas percuma Smart Selangor diperkenalkan Kerajaan Negeri bagi kemudahan pengguna di negeri itu telah mencecah kira-kira RM43 juta sehingga 30 September lalu.

Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS) & Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Kim, berkata kos dinyatakan itu adalah dalam tempoh sejak perkhidmatan itu dimulakan sejak 1 Julai 2015.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, Kerajaan Negeri menyalurkan sebanyak RM34 juta manakala baki RM9 juta dibiayai pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

“Mengikut pecahan, Kerajaan Negeri menaggung sepenuhnya perbelanjaan sebanyak RM3.5 juta pada 2015 manakala pada tahun lalu, daripada jumlah keseluruhan RM14.5 juta, Kerajaan Negeri menganggung RM11.4 juta dan PBT membiayai RM3.1 juta.

“Perbelanjaan pada tahun ini, setakat tempoh dinyatakan Kerajaan Negeri menanggung kos sebanyak RM18,64 juta dan selebihnya RM5.86 juta oleh PBT,” katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) KOta Anggerik, Dr Yaakob Sapari dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Chang Kim berkata, bas Smart Selangor kini menyediakan perkhidmatan dengan kemudahan 30 laluan di sebelas kawasan PBT di Selangor.

“Berbeza dengan jumlah itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya mempunyai empat laluan bas percuma PJCityBus,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Perkhidmatan Bas percuma Smart Selangor ringankan beban rakyat

OLEH LIZAWATI MADFA

SELAYANG, 3 OKT: Sebanyak RM1.25 juta setahun diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan laluan kedua perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor bagi kawasan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mula beroperasi pada 26 Julai lalu.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, penyediaan laluan baru iaitu MPS2 dari Tesco Rawang ke KTM Rawang dan Terminal Bas dan Teksi Rawang itu menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri bagi meringankan bebanan rakyat.

Katanya, penambahan dua buah bas di laluan MPS1 pula menggunakan peruntukan MPS dengan kos RM626,460 setahun.

“Kerajaan Negeri berharap rakyat dapat menggunakan sepenuhnya perkhidmatan bas disediakan secara percuma ini bagi membantu meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

LRM_EXPORT_20171003_100943-1280x853“Ia juga sebagai langkah awal menggalakkan penggunaan pengangkutan awam seterusnya mengurangkan kesesakan lalu lintas di jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran
Laluan 2 Bas Smart Selangor MPS, di sini, hari ini.

Laluan MPS2 yang bermula dari Tesco Rawang antara lain melalui Rumah PKNS BT 16, Taman Kanching, Taman Tun Teja, Pangsapuri Beringin, Surau Al-Radhiah, KTM Rawang, Mydin Rawang dan Terminal Bas dan Teksi Rawang.

Ia beroperasi dengan empat bas seawal jam 6 pagi sehingga jam 10 malam dan dilengkapi kemudahan Wifi, Kamera Litar Tertutup (CCTV), Passanger Information System (PIS) serta mesra Orang Kelainan Upaya (OKU).

LRM_EXPORT_20171003_100933-1280x853Kesalinghubungan laluan Bas Smart Selangor MPS menghubungkan perkhidmatan bas itu dengan sistem pengangkutan awam lain iaitu Transit Aliran Ringan (LRT) di Terminal Putra Gombak bagi laluan MPS1 dan Komuter Rawang di laluan MPS2.

Laluan MPS2 merupakan salah satu daripada 15 laluan baru diperkenal pada 2017 di seluruh Selangor.

Pada 2014 lalu, Bas Smart Selangor mendapat pengiktirafan The Malaysia Book Of Records (MBOR) bagi perkhidmatan bas percuma terbanyak disediakan Kerajaan Negeri dengan 100 bas.

=EZY=

Categories
PBT SELANGOR

30 laluan Bas Percuma Smart Selangor bentuk jaringan pintar

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 25 SEPT: Sebanyak 30 laluan Bas Percuma Smart Selangor di seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dihubungkan dengan pelbagai jaringan pengangkutan awam seperti komuter, Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Bas Rapid Transit (BRT) dan Express Rail Link (ERL).

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, jaringan pintar (Smart Network) itu memberikan perkhidmatan yang menyeluruh serta mengaplikasikan konsep pengangkutan berasaskan ‘First Mile Last Mile’.

“Dengan adanya kesalinghubungan di antara Bas Smart Selangor dan pengangkutan awam lain seperti komuter, ERL, MRT, LRT dan BRT akan menjadikan sistem pengangkutan awam yang lebih baik, teratur dan menyeluruh.

“Ia pastinya memudahkan lagi perjalanan pengguna pengangkutan awam di Selangor,” katanya.

IMG_3365Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bas Smart Selangor ke-100, di Pintu Masuk Utama Pusat Membeli Belah Sunway Pyramid, di sini, semalam.

Majlis turut menyaksikan pengiktirafan The Malaysia Book Of Records (MBOR) bagi Kerajaan Negeri yang paling banyak menyediakan bas percuma iaitu sebanyak 100 bas.

Chang Khim berkata, pemilihan Bas Percuma Smart Selangor ke-100 di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi laluan SJ04 dibuat berdasarkan usaha gigih PBT itu merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri.

Katanya, dari segi rekabentuk, kelainan bas ke-100 memberikan perspektif luar biasa terhadap pencapaian Kerajaan Negeri bersama MPSJ.

“Istimewanya bas ke-100 di MPSJ adalah kerana Subang Jaya sudahpun mempunyai jaringan pengangkutan awam lengkap iaitu kemudahan komuter berhampiran Subang Parade dan Empire, perkhidmatan BRT Sunway, stesen LRT dan MRT.

“Terbaru, mereka juga dilengkapi perkhidmatan ‘Bike Sharing’ yang kini dalam tempoh percubaan untuk dilaksanakan sepenuhnya pada masa akan datang,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 10 juta guna Bas Percuma Smart Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 SEPT: Sejumlah RM42.5 juta dibelanjakan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menyediakan perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor, setakat ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, RM33.5 juta merupakan peruntukan disediakan Kerajaan Negeri manakala baki RM9 juta pula ditanggung PBT.

Katanya, PBT berkenaan adalah Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Subang Jaya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Sepang.

“Kos yang dibelanjakan adalah merangkumi kos sewaan termasuk pengurusan dan penyelenggaraan yang dipertanggungjawab sepenuhnya kepada syarikat bas dilantik.

IMG_3365“Kos lain termasuk ‘wrapping cost’ dan enam peratus cukai barang dan perkhidmatan (Goods and Services Tax–GST),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bas Smart Selangor ke-100, di Pintu Masuk Utama Pusat Membeli Belah Sunway Pyramid, di sini, semalam.

Majlis disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan turut dihadiri Speaker Dewan Negeri Selangor yang juga Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Hannah Yeoh.

Chang Khim berkata, prestasi perkhidmatan Bas Smart Selangor layak dikategorikan sebagai cemerlang dengan catatan 10,734,359 penumpang bagi tempoh 1 Julai 2015 hingga 31 Ogos 2017.

“Dengan sambutan sangat menggalakkan, Kerajaan Negeri amat yakin untuk terus memberikan sokongan dan bantuan terhadap usahasama dengan PBT dalam memperbanyakkan laluan serta menambah bas baru.

“Usaha ini bagi memastikan perkhidmatan Bas Smart Selangor lebih menyeluruh serta mempunyai jaringan dengan sistem pengangkutan awam lain,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Orang Kedah puji bas percuma, untunglah rakyat Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 JAN: Pengguna perkhidmatan Bas Percuma Smart Selangor memuji usaha Kerajaan Negeri memperkasakan kemudahan itu di seluruh negeri.

Pujian itu bukan sahaja dari penduduk Selangor malah penduduk dari negeri lain yang turut berpeluang menggunakan perkhidmatan itu.

Seorang pengunjung dari Kedah yang mahu dikenali sebagai Chan, berkata penduduk Selangor bertuah menikmati kemudahan itu secara percuma.

Katanya, bukan sahaja selesa tetapi bas Smart Selangor itu sangat mesra pengguna.

????????????????????????????????????

“Saya dari Kedah. Ada urusan di Mahkamah. Orang minta saya naik bas ini. Bagus bas percuma dan selesa.

“Kedah tidak sediakan bas seperti ini, untunglah rakyat Selangor” katanya ketika ditemui dalam Program Jelajah Pengangkutan Awam oleh PAC, di sini.

Sementara itu, Nor Liyana Laila Saharuddin, 24, berkata beliau menggunakan perkhidmatan bas itu dalam semua urusan hariannya.

Katanya, urusan kerja pergi dan balik dari Seksyen 7 ke Pusat Membeli Belah SACC menjadi lebih mudah.

DSC_2540“Saya tidak bimbang lagi mengenai pengangkutan awam. Ke mana saya pergi saya akan gunakan bas ini.

“Setakat ini, saya gembira dengan inisiatif ini,” katanya.

Nurdhiya Anuar, 30, turut berkongsi pengalaman menggunakan perkhidmatan percuma itu.

“Memang puas hati dengan keadaan bas yang serba baru, selesa dan mesra OKU serta warga emas.

DSC_2542“Dengan ini, rakyat terutama mereka berpendapatan rendah beroleh manfaat seterusnya dapat berjimat. Mereka dapat menjimatkan kos untuk ke sekolah, tempat kerja dan lokasi lain,” katanya.

Beliau turut menyarankan Kerajaan Negeri untuk menambah jajaran baru supaya hubungan jajaran lebih banyak sekaligus memudahkan penduduk untuk ke destinasi lain.

-nR-