Categories
NASIONAL

46% rakyat berpendapat faedah pinjaman perumahan tinggi

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Kira-kira 46 peratus responden berpendapat kadar faedah dikenakan terhadap pinjaman perumahan di negara ini terlalu tinggi, menurut Tinjauan Sentimen Pengguna PropertyGuru Malaysia.

Mereka berpadangan, walaupun rakyat tidak lagi berdepan kesukaran memperoleh pinjaman perumahan, namun kadar faedah yang terlalu tinggi perlu dikurangkan berdasarkan cabaran ekonomi semasa.

Tinjauan terbabit turut mendapati hanya 31 peratus mengatakan kadar itu boleh diterima.

“Semakin banyak pinjaman diluluskan dengan kebanyakannya permohonan bersama dan pengguna memperoleh margin pinjaman rendah serta bayaran balik setiap bulan.

“Bank kini meluluskan lebih banyak permohonan, namun ada masanya. Pakej ditawarkan tidak menarik kepada pengguna,” kata Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez, dalam kenyataan, lapor BERNAMA.

Berdasarkan data PropertyGuru, 91 peratus responden menyatakan mereka memerlukan pinjaman bank untuk membeli rumah, dengan 45 peratus memilih pembiayaan 90 peratus, manakala 25 peratus lagi bersedia menerima pembiayaan antara 70 dan 80 peratus.

rumahSejumlah 18 peratus lagi memilih pembiayaan 100 peratus.

Keputusan terbaharu itu selari dengan keputusan tinjauan pasaran hartanah Malaysia sudah mencapai kedudukan stabil dengan peningkatan harga secara beransur-ansur, namun mampan, berbanding peningkatan ketara sejak dua hingga tiga tahun lalu.

Fernandez berkata, rakyat Malaysia terus berhadapan cabaran dalam pemilikan rumah walaupun mereka bersedia untuk membeli.

Katanya, halangan yang masih dihadapi pembeli terutama kali pertama adalah ketidakcukupan dana selepas membayar ansuran bulanan atau memenuhi kos pendahuluan seperti duti setem, guaman dan berpindah masuk.

“Penyelesaian untuk pembeli rumah kali pertama mungkin berupa kadar faedah khas jika mereka mampu membeli hartanah, pada julat harga khusus di pembangunan berorientasikan transit.

“Kira-kira 43 peratus rakyat Malaysia menggunakan tabungan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membeli hartanah, sama ada bayaran deposit atau menampung kekurangan dalam jumlah pinjaman utama, peningkatan sentimen lima peratus tahun ini berbanding 38 peratus, pada separuh kedua 2016,” katanya.

Beliau berkata, seseorang yang menggunakan tabung persaraan untuk membeli hartanah menunjukkan ketidakmampuan dalam pasaran dan mungkin bermakna pengguna mengutamakan pemilikan rumah berbanding tahun persaraan masing-masing.

“Yang lain mungkin merasakan pulangan daripada KWSP tidak menarik, oleh itu lebih baik menggunakan wang berkenaan untuk dilaburkan dalam kediaman yang akan menjana peningkatan modal selain bumbung untuk berteduh,” katanya.

Tinjauan setiap setengah tahun sejak 2009 itu mengukur sentimen dan jangkaan dalam persekitaran pasaran hartanah untuk menyediakan maklumat bagi membolehkan pembeli membuat keputusan, selain membolehkan ejen hartanah dan pemaju memperoleh perspektif lebih baik berkenaan pasaran hartanah tempatan.

Tinjauan separuh pertama 2017 menyaksikan 949 responden di Malaysia dan lebih 3,100 responden di seluruh Asia Tenggara.