Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Air pasang besar: Persediaan awal diambil namun tetap berjaga

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 21 SEPT: Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor tidak memandang ringan ancaman fenomena air pasang besar yang berlaku pada September hingga Disember 2017.

Ketua unit terbabit, Ahmad Fairuz Mohd Yusof, berkata, sebelum ini Kerajaan Negeri sudah membelanjakan lebih RM12.3 juta bagi 2016 dan 2017.

“Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor telah memperuntukan bagi pembaikan dan meninggikan tebing kawasan berisiko tinggi apabila pada tahun ini RM8 juta dibelanjakan untuk membaiki tebing dan pada 2016 RM4.3 juta untuk pembaikan terus ketika krisis ini berlaku.

“Bagaimanapun kita tidak dapat meramal sama ada kejadian ini berlaku atau tidak, kita hanya bersedia dengan mengambil semua langkah sewajarnya,” katanya.

air-pasang-besar-3Beliau berkata demikian pada sidang media Unit Pengurusan Banjir di Bilik Gerakan Kerajaan Negeri di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini, semalam.

Jelasnya, pada masa ini amaran dan arahan sudah dikeluarkan kepada penduduk kawasan terlibat.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan banjir masih boleh berlaku sekiranya berlaku pertembungan air pasang besar dengan hujan lebat dan tiupan angin kencang.

Bagaimanapun katanya sehingga kini masih belum ada sebarang limpahan berlaku dan benteng yang dibina masih berdiri teguh.

“Di kawasan Kampung Tok Muda tiada limpahan walaupun pada paras 5.3 meter dengan cuaca mendung tetapi tiada limpahan fizikal.

“Pemantuan dijalankan bermula seawal jam 4.00 pagi kerana kenaikan air pasang dijangka bermula pada jam 3.00 pagi bermula di Sabak Bernam sehingga jam 6.00 pagi di Sepang dan Kuala Langat,” katanya.

=EZY=