Categories
SUKANKINI

PKNS FC manfaat peluang terhidang, atasi cabaran Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 21 SEPT: PKNS FC mempamerkan kualiti persembahan baik dengan kombinasi berkesan bagi mengatasi cabaran pasukan Selangor, malam tadi.

Kesungguhan pemain mendapat pujian jurulatih, Muhammad Adam Abdullah, yang menganggap mereka telah menjalankan peranan memenuhi kehendak pasukan yang menyasarkan PKNS FC kekal dalam saingan Liga Super.

“Kita mendapat peluang dan menyudahkannya dengan baik. Pasukan berjaya menghasilkan gol melalui dua peluang diperoleh.

“Persembahan pasukan bagus dengan semua pemain memainkan peranan dengan berkesan,” kata pengendali sementara itu dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, di sini, malam tadi.

PKNS FC (NEW)Dalam perlawanan Liga Super itu, PKNS FC mengalahkan Selangor 2 – 1 menerusi jaringan Shahrul Azhar Ture pada minit ke-25 dan Patrick Ronaldinho Wleh (m64).

Manakala Selangor mendapat gol melalui Rufino Segovia Del Burgo (m34).

Adam berkata, kehadiran semula ketua pasukan, Safee Sali, juga memantapkan pasukan dan ia memberi kelebihan kepada PKNS FC khususnya di barisan hadapan.

“Perlawanan menentang Selangor bukan mudah tetapi kita inginkan kemenangan dan semua pemain begitu komited dengan kesungguhan tinggi untuk mengulangi kejayaan dicatat sebelumnya.

“Kemenangan ini petanda baik untuk pasukan dalam menghadapi dua lagi perlawanan berbaki,” katanya yang akan menumpukan perhatian berdepan Kelantan dan Felda United selepas ini.

Dalam pusingan pertama liga, PKNS FC mengalahkan Selangor 5 – 3.

Berhubung perkembangan pasukan, Adam berkata, keputusan merehatkan ketua jurulatih, Sven Gartung adalah kehendak pengurusan PKNS FC dan beliau hanya menjalankan tanggungjawab seperti mana diarahkan.

“Sebagai kakitangan PKNS FC, saya berusaha menjalankan amanah diberi dan kejayaan diraih adalah kejayaan pasukan,” katanya.

=EZY=