Categories
NASIONAL

Azmin: Solusi dicari bukan untuk publisiti tetapi demi rakyat

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 SEPT: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyambut baik restu Ketua Umum, Dato’ Seri Anwar Ibrahim terhadap usaha rundingan bersama PAS sebelum ini.

Menerusi Twitter, beliau berkata, kenyataan Anwar itu sekaligus menjernihkan kata-kata kurang manis terhadap usahanya mencari solusi terbaik menumbangkan Umno-BN pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, segala dilakukannya adalah untuk kepentingan rakyat dan bukan untuk meraih publisiti.

“Saya dipertahankan. Kebenaran mengatasi pembohongan. Mencari penyelesaian itu memerlukan usaha bersungguh-sungguh dan bukan untuk menarik perhatian.

“Sepertimana disebutkan Mahatma Gandhi, kamu mungkin tidak tahu keputusan apa bakal diperoleh dengan tindakan kamu, tetapi jika kamu tidak melakukan apa-apa tiada apa yang akan kamu kecapi di hujungnya,” katanya mengulas ringkas kenyataan Anwar.

Semalam, Anwar menjelaskan, beliau sentiasa menyokong usaha Mohamed Azmin berunding dengan PAS bagi menjalin kerjasama bagi menumbangkan Umno-BN.

Katanya, Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar sedar bahawa strategi nasional adalah kritikal ketika ini dan tidak terbatas kepada Selangor sahaja.

“Namun saya perlu menjelaskan bahawa komitmen KEADILAN teguh dan kukuh bersama Pakatan Harapan sepertimana dizahirkan Presiden, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sejak awal lagi.

“Apa yang diusulkan dan dipersetujui Biro Politik sebelum ini adalah tidak memusuhi PAS dan mengkaji kemungkinan mengelak pertarungan tiga penjuru.

“Pertimbangannya adalah menggembeleng seluruh kekuatan dalam menghadapi Umno-BN pada PRU14,” katanya dalam kenyataan semalam.

=EZY=