Categories
PBT SELANGOR

Bincang dengan penduduk cari penyelesaian

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 13 SEPT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan mengadakan perbincangan bersama penduduk setempat berhubung bantahan cadangan pembinaan pusat konvensyen, di sini.

Pegawai Komunikasi Korporat MPAJ, Norhayati Ahmad berkata, ia diadakan selepas Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mahu MPAJ memperjelaskan isu itu secara tepat kepada penduduk.

Katanya, MPAJ akan memilih tarikh yang sesuai dalam tempoh terdekat untuk mengadakan perbincangan itu.

“Kita harap perbincangan itu akan diadakan dalam masa terdekat ini sekaligus menamatkan kontroversi isu ini,” katanya.

Baru-baru ini, Mohamed Azmin mahu MPAJ berjumpa penduduk untuk berbincang akan isu itu sekaligus memberi penerangan tepat pembinaan pusat itu.

Mohamed Azmin berkata beliau mahu taman rekreasi dibangunkan di tapak itu dan sanggup mengorbankan Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Gombak untuk pembangunan itu dijalankan.

Terdahulu, persatuan penduduk Taman Melawati menghantar petisyen berhubung bantahan cadangan projek pembinaan sebuah pusat konvensyen itu kepada Mohamed Azmin, pemaju dan MPAJ.

Penduduk mendakwa cadangan awal kawasan itu adalah bagi pembinaan taman rekreasi di tapak berkeluasan 1.36 hektar.

Bagaimanapun, penduduk mendakwa ia dipercayai ditukar kepada pusat konvensyen tanpa pengetahuan penduduk.

=EZY=