Categories
SELANGOR

Bersihkan kediaman elak jadi sarang aedes

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 SEPT: Penduduk sekitar disarankan mengambil tanggungjawab membersihkan kawasan kediaman masing-masing sebagai usaha memastikan tempat tinggal mereka bebas dari pembiakan nyamuk aedes.

Exco Kesihatan, Kebajikan dan Pembangunan Wanita serta Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, hal itu kerana ia merupakan perkara asas sekiranya mahu kawasan berisiko tinggi menjadi bebas denggi.

“Sikap itu perlu dididik dari akar umbi membabitkan pelbagai golongan supaya penduduk lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan kediaman masing-masing.

aedes“Kita mengalukan kerjasama penduduk supaya kawasan yang berisiko tinggi dapat dihapuskan secara berkesan,” katanya di Majlis Perasmian Penutup Gotong Royong Denggi 12 minggu dan Hari Keluarga Merdeka Taman Pelangi Semenyih, baru-baru ini.

Pada masa sama, Dr Daroyah memuji komitmen tinggi penduduk Taman Pelangi yang berusaha mengadakan gotong royong secara berterusan sekaligus menjadikan kawasan kediaman mereka keluar daripada kawasan hotspot denggi.

IMG_7587“Saya berbangga dengan semangat penduduk kawasan ini yang berusaha untuk membebaskan kawasan mereka dari hotspot denggi. Kini, kawasan ini bersih dan tidak lagi dilabel sebagai hotspot denggi,” katanya.

Beliau turut menasihatkan penduduk supaya memastikan melaksanakan pemeriksaan dan membersihkan takungan air secara berkala.

Menurut sumber daripada bilik gerakan denggi kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan sejumlah 127 kes di Selangor setakat 12 September (semalam) dengan jumlah terkumpul dari 1 Januari hingga tempoh itu sebanyak 36,888 kes.

=EZY=