Categories
NASIONAL

Imbauan tragedi Pondok Pak Ya berulang, apa tindakan kita seterusnya?

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

ANALISIS SEMASA 14 SEPT: TRAGEDI menyayat hati. Kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat, Kuala Lumpur yang mengorbankan 24 mangsa pada subuh 14 September 2017 mengimbau detik hitam ‘Tragedi Pondok Pak Ya’ pada 1989.

Dalam Tragedi Pondok Pak Ya yang berlaku pada 22 September 1989 itu seramai 27 pelajar termasuk kanak-kanak perempuan sekolah terbunuh di Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah di Guar Chempedak, Kedah.

Difahamkan mereka tertidur dan lilin yang digunakan untuk menerangi ruang bilik asrama itu telah terjatuh dan membakar tilam hingga merebak dan tidak dapat dikawal.

Pondok Pak Ya1Akibat kebakaran, itu sebanyak lapan buah blok asrama yang diperbuat daripada papan ketika itu telah musnah dijilat api dan 27 orang pelajar perempuan yang menghuni di asrama terbabit telah terkorban, difahamkan ketika nyenyak tidur akibat menghidu bau asap tebal kebakaran itu.

Manakala dalam kejadian di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat, di Kuala Lumpur, awal pagi 14 September 2017 dipercayai bermula dari bahagian pintu yang terletak di bahagian tengah asrama.

Pusat tahfiz itu mempunyai 36 pelajar dan enam guru yang menginap di pusat tahfiz berkenaan. Seramai 22 pelajar dan dua warden maut dalam kebakaran di pusat tahfiz itu yang terletak di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Abu Obaidah Mohamad, berkata kejadian itu dipercayai bermula dari pintu asrama berdasarkan keadaan mayat mangsa yang dipercayai cuba mengelak daripada api.

Beliau berkata, ada kemungkinan punca kebakaran akibat lintar pintas kerana ada kotak suis elektrik di sebelah pintu berkenaan.

IMG_8515Dua kejadian tragis ini hanyalah beberapa kes dengan banyak lagi kes kebakaran seumpamanya berlaku. Persoalan sekarang ialah apa yang boleh kita pelajari daripada kejadian ini bagi memastikan tragedi hitam ini tidak berulang di masa hadapan.

Kita sedih kes kebakaran melibatkan sekolah pondok, maahad tahfiz dan asrama terus berulang di negara kita. Apakah pihak berkenaan tidak menjalankan tugas sepenuhnya ?Apakah kita tidak belajar daripada tragedi hitam kebakaran berlaku yang mengorbankan banyak nyawa?

Masa sekarang bukan untuk menuding jari siapa bersalah. Tetapi yang lebih penting adalah tindakan yang perlu dilakukan oleh semua pihak daripada peringkat bawah sehingga tertinggi.

IMG_8442Disamping menghulurkan simpati dan bantuan kepada keluarga mangsa terlibat adalah bagaimana masyarakat menjadikan tragedi ini untuk mempertingkatkan dan memperbaiki tahap keselamatan premis, rumah, bangunan dan sekolah asrama serta maahad tahfiz di seluruh negara bagi berhadapan kes kebakaran.

Sudah tiba masanya pemilik premis, madrasah, sekolah berasrama, kawasan perumahan dan apartment menggerakkan usaha dan kerjasama dengan pihak berkenaan bagi mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan dan tindakan awal yang boleh dilakukan dalam usaha menyelamat sebelum ketibaan Bomba dan Penyelamat.

BOMBA PENYELAMATApi bila kecil menjadi kawan, bila besar menjadi lawan. Malang itu tidak berbau. Semoga tragedi hitam ini menjadi pengajaran penting untuk kita semua bertindak. Bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam selepas beberapa ketika ia dilupakan.

Salam takziah kepada keluarga mangsa. Semoga mereka tabah dengan dugaan besar yang diberikan kepada mereka. Semoga Allah mencucuri rahmat, keampunan ke atas roh mereka dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.  Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.

=EZY=