Categories
PBT SELANGOR

Hari Tanpa Kenderaan Shah Alam meriah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 SEPT: Kira-kira 1,500 peserta dan pengunjung membanjiri Dataran Kemerdekaan Shah Alam bagi memeriahkan Hari Tanpa Kenderaan, hari ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, program bertemakan Minggu Kesihatan itu turut dilaksanakan program jalan santai 10,000 langkah, pameran skim peduli sihat, bantuan Sihat Selangor dan saringan Sihat Selangor.

Katanya, Hari Tanpa Kenderaan itu merupakan inisiatif MBSA melahirkan warga Shah Alam untuk mengamalkan gaya hidup sihat selain mengurangkan penggunaan kenderaan di jalan raya.

“Sepanjang program ini, orang ramai hanya dibenarkan menggunakan basikal, roller blade, papan luncur, hover board, berjalan kaki dan skuter blade di sekitar pusat bandar,” katanya.

IMG_7744Program itu dirasmikan oleh Exco Kesihatan, Kebajikan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi.

Hadir sama Datuk Bandar MBSA, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Shahrin berkata, pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya pelepasan peserta untuk aktiviti berbasikal dan acara berjalan kaki.

Katanya, program itu turut menampilkan persembahan pentas oleh kombo MBSA, aktiviti senamrobik, pertandingan pakaian paling kreatif, aktiviti mewarna dan cabutan bertuah.

“Bagi menarik penyertaan orang ramai, MBSA turut menyediakan chu chu train secara percuma, penyewaan basikal dan skuter elektrik, face painting, wall climbing dan fruit challenge,” katanya.

IMG_7477Dalam program itu, MBSA turut bekerjasama dengan Hospital DEMC, Pejabat Kesihatan Daerah dan Galeri Shah Alam.

Turut disediakan, tips kesihatan, pameran kesihatan, aktiviti mengikat reben merah berbentuk hati, jualan dan sewaan basikal, lorong seni dan pameran pencegahan denggi.

Terdahulu, Hari Tanpa Kenderaan dilancarkan pada Januari lalu yang akan dilaksanakan secara berterusan minggu kedua Ahad, setiap bulan.

=EZY=