Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Tarian naga meriahkan ulang tahun Shah Alam tanpa kenderaan

SHAH ALAM, 11 FEB: Orang ramai berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik sempena sambutan ulang tahun keenam Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 di sini pada Ahad ini.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi Facebook memaklumkan program dengan tema Tahun Baharu Cina bermula dari jam 7.20 hingga 10.30 pagi.

“Pendaftaran secara dalam talian perlu dibuat melalui pautan https://www.shahalamharitanpakenderaan.com/ tetapi dihadkan kepada 1,000 orang sahaja,” katanya.

Berikut aktiviti disediakan sempena program tersebut:

1. Fun Run/Walk – 7.20 hingga 7.30 pagi
2. Berbasikal – 7.20 hingga 7.30 pagi
3. Senaman Stik To Stik – 8.10 hingga 8.30 pagi
4. Persembahan tarian – 8.30 hingga 9 pagi
5. Persembahan kombo MBSA – 8.30 hingga 9 pagi
6. Persembahan tarian naga – 9 hingga 10.15 pagi
7. Kuiz keluarga ceria – 9 hingga 10.15 pagi
8. Buskers – 10.15 hingga 10.30 pagi
9. Klinik memanah – 8 hingga 10.30 pagi
10. Klinik Frisbee – 8 hingga 10.30 pagi
11. Belon udara panas – 8 hingga 10.30 pagi
12. Parrot brothers, jualan arnab, pameran kereta kawalan, saringan kesihatan, permainan tradisional – 7.30 hingga 10.30 pagi
13. Jualan buah dan sayur Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) – 7.30 hingga 10.30 pagi
14. Cat Adoption – 7.30 hingga 10.30 pagi

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Belon udara meriahkan Hari Tanpa Kenderaan Shah Alam

SHAH ALAM, 15 NOV: Hari Tanpa Kenderaan Shah Alam kembali diadakan semalam selepas tertangguh sejak Mac tahun lalu akibat Covid-19, kata Shahrin Ahmad.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkata sempena pembukaan, pihaknya melancarkan aktiviti belon udara yang membolehkan pengunjung menikmati pemandangan sekitar dari aras tinggi.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengadakan Hari Tanpa Kenderaan Shah Alam pada 14 November 2021. Foto MBSA

“Ini sebagai tarikan baharu dan majlis akan cuba meneruskannya setiap kali program berlangsung. Aktiviti larian, berbasikal, zumba, persembahan ‘buskers’, cabutan bertuah dan kuiz serta acara mewarna kanak-kanak turut diadakan.

“Untuk pencinta haiwan kita anjurkan ‘petting zoo’. Kita turut edar barangan terpakai percuma kepada peserta melalui program Eco Free Market,” katanya.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor menyempurnakan majlis berkenaan.

Shahrin berkata program bertempat di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 itu hanya melibatkan pengunjung yang berdaftar dan perlu mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

“Hanya 600 pengunjung sahaja berbanding 5,000 orang sebelum ini. Dahulu kita benarkan sesiapa saja sertai tetapi sekarang kita kawal bagi membendung penularan Covid-19.

“Mereka perlu lengkap vaksin dan menjaga penjarakan fizikal selain memakai pelitup muka serta mengambil suhu badan sebelum masuk,” katanya.

Program mendapat kerjasama Avisena Specialist Hospital dan KPJ Selangor Specialist Hospital itu turut mengadakan sesi saringan kesihatan percuma kepada pengunjung.

 

 

Categories
PBT SELANGOR

Program Shah Alam tanpa kenderaan mulai November

SHAH ALAM, 9 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meneruskan kembali program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan mulai November selepas kali terakhir dianjur pada Mac 2020.

Timbalan Datuk Bandar Mohd Rashidi Ruslan berkata program itu diteruskan bagi memupuk amalan gaya hidup sihat dengan mengurangkan pelepasan gas karbon monoksida.

“Program ini juga selaras dengan hala tuju MBSA untuk menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya rendah karbon menjelang 2030.

“Insya-Allah program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan kali ini akan dikawal dengan SOP (tatacara operasi piawai) yang ketat berbanding sebelum ini kehadiran pengunjung minimum 5,000 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Bual Bicara sempena Ulang Tahun Bandaraya Shah Alam ke-21 menerusi siaran langsung di SelangorTV malam tadi.

Sebelum ini, program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan diadakan seawal jam 7 hingga 11 pagi pada Ahad minggu kedua setiap bulan itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik iaitu larian, acara berbasikal, senamrobik dan cabaran mendaki dinding.

Selain itu, program Eco Free Market bertemakan kitar semula iaitu satu acara penyaluran dan agihan semula barangan terpakai turut diadakan.

Pejabat Bergerak Shah Alam On Wheels dan Perpustakaan Bergerak juga disediakan untuk orang awam mendapatkan maklumat yang mereka perlukan.

Categories
SELANGOR

Pantau program Hari Tanpa Kenderaan elak pembaziran

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 MAC: Program Hari Tanpa Kenderaan anjuran semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dipantau Kerajaan Negeri, kata Hee Loy Sian.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam itu berkata, ia dilakukan bagi mengelakkan pembaziran kos bagi penganjuran program terbabit.

“Buat masa ini jumlah kos penganjuran bagi lapan PBT sepanjang 2018 adalah RM963,097.82.

“Walaupun mungkin kos ini dilihat agak tinggi, namun Kerajaan Negeri sentiasa memantau supaya penggunaan peruntukan digunakan secara berhemah,” katanya ketika Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Loy Sian berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Baharu, Lee Kee Hiong berkenaan kos yang dibelanjakan dalam Program Hari Tanpa Kenderaan, pada 2018.

Loy Sian berkata, program yang menyasarkan penurunan karbon bagi kawasan bandar itu dilihat memberi kesan jangka panjang.

Katanya, antara kesan yang dapat dilihat termasuk pembinaan trek basikal di sekitar kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam.

“Sekarang kita dapati sudah ada penduduk yang sudahpun menggunakan basikal ke tempat kerja dan itulah yang ingin kita praktikkan di Selangor.

“Mungkin pada masa hadapan, kita juga akan menggalakkan penggunaan basikal elektrik bagi mengantikan motosikal, sekali gus mengurangkan pencemaran karbon,” katanya.

Categories
SELANGOR

Jom meriahkan Hari Tanpa Kederaan MDHS Sabtu ini

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

HULU SELANGOR, 21 FEB: Orang ramai dijemput memeriahkan Hari Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Sabtu ini.

MDHS dalam kenyataan memaklumkan, program bertempat di tapak pasar malam, Jalan Orkid Bukit Sentosa itu dijadualkan berlangsung mulai jam 7 pagi sehingga 12 tengah hari.

MDHS turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya canting batik, berbasikal, menunggang beca dan larian santai sejauh satu kilometer (km)

Seramai 500 pengunjung terawal turut berpeluang menerima hadiah misteri manakala 500 kanak-kanak pula akan menerima ang pow sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Dalam pada itu, MDHS turut membuka kaunter kitar semula pada program itu dan pengunjung yang hadir turut berpeluang mendapatkan hadiah misteri selain menebus barangan kitar semula.

“Jumlah minimum barangan kitar semula yang mahu ditebus merangkumi 20 naskah surat khabar, 30 tin susu atau sardin, 25 botol plastik 500 mililiter (ml), 15 botol plastik 1.5 liter, 10 kotak tetra-pack 1 liter, 15 kotak tetra-pack 200 ml ke atas dan 20 tin aluminium.

“Setiap bahan yang dibawa perlu dalam keadaan bersih dan tiada sisa air atau makanan, bagi botol plastik dan tin aluminium perlu dikemekkan, manakala kotak minuman perlu diratakan,” katanya.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang melawat kaunter pameran perkhidmatan daripada agensi kerajaan dan swasta.

Categories
SELANGOR

Jom meriahkan Hari Tanpa Kenderaan MBSA Ahad ini

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjemput orang ramai memeriahkan program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, pada 10 Februari ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, program itu adalah inisiatif MBSA ke arah mempromosikan gaya hidup sihat dan mengurangkan penggunaan kenderaan di atas jalan raya penyebab pencemaran alam.

“Pada program kali ini, akan diadakan pelepasan peserta aktiviti riadah seperti acara berbasikal, acara berjalan kaki, senamrobik, senaman taichi, persembahan pentas oleh kombo MBSA, dan pemeriksaan kesihatan percuma.

“MBSA turut mengadakan program bual santai Jom Picnic Dhuha bertajuk ‘Sembang Santai Penghijrahan’ bersama Mel Wings dan Amira Ann Lee serta Program Eco Free Market iaitu pemberian barangan terpakai secara percuma kepada yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, bagi menarik penyertaan orang ramai, MBSA juga menyediakan permainan wall climbing, senaman Taichi, Mobile Library, Shah Alam On Wheels, Food Truck, chu chu train, Klinik Frisbee, Hydro Gel Games, Futsal On 3, Fruit Eating Challenge, cabutan bertuah, jualan pokok serta baja kompos.

Selain itu, katanya, MBSA turut mengadakan Pertandingan Pakaian Beragam Terbaik melibatkan dua kategori iaitu Kategori Keluarga dan Individu.

Pada masa sama, Shahrin turut meminta kerjasama orang ramai dan pemilik bangunan di sekitar pusat bandar mengambil maklum berkenaan jalan raya yang akan ditutup sepanjang program berlangsung.

“Antara jalan terbabit adalah Persiaran Bandaraya (Dataran Kemerdekaan), Persiaran Perbandaran, Persiaran Tasik, Persiaran Masjid, Persiaran Dato’ Menteri dan Persiaran Damai, pada 10 Februari ini bermula jam 6.30 pagi sehingga 9.30 pagi.

Categories
PBT SELANGOR

Hari Tanpa Kenderaan MDHS diteruskan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU SELANGOR, 31 OKT: Hari Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) bakal diteruskan setiap bulan selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Yang Dipertuanya, Shukri Mohamad Hamin berkata, tempoh percubaan selama tiga bulan berjaya mencapai sasaran ditetapkan dengan penyertaan lebih 2,000 pengunjung.

Katanya, inisiatif program itu selaras pelaksanaan Program Teknologi Hijau Tahun 2018 dan Sustainable Development Goals (SDG).

“Program ini dapat memberi kesedaran pentingnya mencintai alam sekitar dan kami menjadi Pihak Berkuasa Tempatan bertaraf majlis daerah pertama, di negeri ini yang menganjurkan Hari Tanpa Kenderaan,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, katanya, bandar Kuala Kubu Bharu dipilih sebagai lokasi program berdasarkan kesesuaiannya daripada segi susun atur jalan dan bandar.

Katanya, pengunjung turut berpeluang menikmati keindahan landskap dan reka bentuk bangunan bersejarah yang dirancang menggunakan konsep bandar taman.

“Program ini akan diadakan pada setiap Sabtu minggu ketiga, bermula jam 7 pagi hingga 12 tengahari.

“Eco Free Market antara yang menjadi tumpuan apabila memberikan pelbagai barangan hasil sumbangan orang ramai kepada pengunjung secara percuma,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MDHS anjur Hari Tanpa Kenderaan pada 25 Ogos

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 16 OGOS: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) bakal menganjurkan Program Hulu Selangor Hari Tanpa Kenderaan, di kawasan parkir berhadapan Pejabat Pos Bandar Kuala Kubu Bharu, pada 25 Ogos ini.

Menampilkan kelainan dengan mengetengahkan tema ‘Hari Kemerdekaan’, program itu adalah inisiatif MDHS ke arah menggalakkan amalan gaya hidup sihat kepada komuniti setempat.

Sekretariat Media, Unit Komunikasi Korporatnya berkata, tema itu dipilih bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan penduduk dan masyarakat luar yang bakal menyambutnya, pada 31 Ogos ini.

“Orang ramai dipelawa untuk bersama menjayakan program yang akan bermula dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari ini.

“Pendaftaran adalah secara ‘walk in’ dan t-shirt percuma diberikan kepada 400 penyertaan terawal,” katanya dalam kenyataan, di Facebook.

MDHS berkata, program itu juga adalah pendekatan pihaknya untuk mengurangkan penggunaan kenderaan, sekali gus dapat mengawal pencemaran udara.

Katanya, program terbabit turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk disertai masyarakat awam

“Ia termasuk larian santai kemerdekaan sejauh 1.3 kilometer, basikal santai, jalan kaki, senamrobik, ‘Skutter Blade’, ‘Roller Blade’,’Skate Board’ dan kereta bateri untuk kanak-kanak.

“Selain itu, terdapat aktiviti lain seperti ‘Line Dance’, ‘Buskers’, sukan tradisional, sewaan basikal dan mewarna terbuka serta membuka tapak ‘Food Truck’, jualan produk PPDK, pameran agensi kerajaan juga swasta, kaunter cukai MDHS selain pemeriksaan kesihatan percuma,” katanya.

“Dalam kesempatan itu, kami juga menjalankan program ‘Flea Market’ dan ‘Eco Free Market’ serta lebih 50 cabutan bertuah,” katanya.

Sebarang pertanyaan berhubung program itu, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Perancang Bandar MDHS di talian 03-60641331 atau layari Facebook Bahagian Korporat Majlis Daerah Hulu Selangor.

Categories
PBT SELANGOR

500 peserta meriahkan Hari Tanpa Kenderaan MBSA

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 9 APR: Seramai 500 peserta menjayakan program Jalan Santai Kitar Semula sempena Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pada 8 April lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, program itu bertujuan mendidik warga Shah Alam mengamalkan gaya hidup sihat.

Selain itu, katanya, ia adalah inisiatif MBSA menjadikan alam sekitar sebagai salah satu aspek penting dalam kehidupan seharian.

“Di samping itu, ia dapat mengurangkan penggunaan kenderaan di atas jalan raya yang menyebabkan pelepasan gas karbon monoksida yang boleh mencemarkan alam sekitar.

“Matlamat penganjuran program ini pada masa sama memberi fokus terhadap aspek penjagaan alam sekitar ke arah menjadikan Shah Alam Bandar Raya Rendah Karbon menjelang 2030,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, antara aktiviti dijalankan ialah berbasikal, larian kitar semula, persembahan pentas oleh kombo MBSA, zumba dan pemeriksaan kesihatan percuma.

Katanya, program itu satu usaha menggalakkan penduduk Shah Alam mengamalkan budaya kitar semula khususnya kepada golongan muda.

“MBSA turut menyediakan kaunter bergerak Shah Alam on Wheel (SAOW) bagi perkhidmatan semakan bayaran cukai taksiran, semakan kompaun tempat letak kereta dan kaunter aduan jualan kupon parkir,” katanya.

Majlis disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Categories
SELANGOR

MPAJ laksana Hari Tanpa Kenderaan minggu kedua setiap bulan

 

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Hari Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti setempat, pada 11 Februari lalu.

Tang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain berkata, program yang sarat dengan pelbagai acara itu akan dilangsungkan setiap minggu kedua setiap bulan.

“Program bermula dari jam 6.30 hingga 10 pagi di sepanjang Jalan Pandan Utama dan padang Perbandaran Pandan Indah diisi dengan pelbagai acara antaranya kayuhan santai, pameran, hiburan busking, aktiviti kanak-kanak, sukan dan penjualan hasil kebun komuniti,” katanya.

Beliau berkata, MPAJ juga berhasrat menjalin kerjasama strategik dengan sekolah di kawasan itu dalam menggerakkan aktiviti dan kempen menjaga alam sekitar.

Katanya, ia antara usaha bagi merealisasikan Pelan Tindakan Ampang Jaya Bandar Rendah Karbon 2030 yang mensasarkan penurunan karbon sebanyak 30 peratus menjelang tahun berkenaan.

“Selain itu MPAJ juga mempunyai kebun komuniti dan sangat aktif melaksanakan aktiviti bercucuk tanam dalam kawasan taman perumahan dengan kita memberi kelonggaran kepada penduduk menggunakan rezab kawasan lapang dan longkang untuk melaksanakan aktiviti berkebun.

“Sehingga kini MPAJ mempunyai 10 kebun komuniti sangat aktif berkebun dan menjual hasilnya seperti KRT AU2 Taman Keramat, JMB Ukay Perdana, KRT Merpati B Pandan Indah, Komuniti Ar Raihan Pandan Indah, KRT Pandan Mewah dan JKP 20 Taman Cheras Indah,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Lebih 3,000 meriahkan Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 11 FEB: Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan menerima kehadiran lebih 3,000 pengunjung dengan bertemakan Shah Alam Bebas Plastik di Dataran Kemerdekaan, pagi tadi.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, sejak program itu dilancarkan, ia menerima sambutan menggalakkan khusus dari warga Shah Alam.

“Pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya pelepasan peserta bagi aktiviti riadah seperti acara berbasikal, acara berjalan kaki, persembahan pentas oleh kombo MBSA, aktiviti senamrobik, dan pameran kesihatan.

“Kita juga mengedarkan 800 T-Shirt percuma kepada 800 peserta sempena aktiviti larian larian Fun Run Sempena Shah Alam Bebas Plastik,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, menariknya kali ini MBSA mengadakan Program Eco Free Market iaitu pemberian barangan terpakai secara percuma kepada yang memerlukan.

Selain itu, disediakan permainan wall climbing, Fruit Eating Challenge, cabutan bertuah, Mobile Library MBSA, jualan baja kompos, jualan makanan di Food Truck, pameran Inisiatif Rendah Karbon, photo booth, petting zoo, dan aktiviti doodles/painting.

Kaunter Bergerak Shah Alam On Wheels turut beroperasi bagi memudahkan orang awam membuat semakan dan pembayaran kompaun tempat letak kereta, kaunter aduan, jualan kupon parkir dan sebagainya.

Difahamkan, program itu merupakan inisiatif MBSA ke arah melahirkan warga Shah Alam mengamalkan gaya hidup sihat, di samping mengurangkan penggunaan kenderaan yang menyebabkan pelepasan gas karbon monoksida mencemar alam sekitar.

=EZY=

Categories
PBT SELANGOR

Hari Tanpa Kenderaan Shah Alam meriah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 SEPT: Kira-kira 1,500 peserta dan pengunjung membanjiri Dataran Kemerdekaan Shah Alam bagi memeriahkan Hari Tanpa Kenderaan, hari ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, program bertemakan Minggu Kesihatan itu turut dilaksanakan program jalan santai 10,000 langkah, pameran skim peduli sihat, bantuan Sihat Selangor dan saringan Sihat Selangor.

Katanya, Hari Tanpa Kenderaan itu merupakan inisiatif MBSA melahirkan warga Shah Alam untuk mengamalkan gaya hidup sihat selain mengurangkan penggunaan kenderaan di jalan raya.

“Sepanjang program ini, orang ramai hanya dibenarkan menggunakan basikal, roller blade, papan luncur, hover board, berjalan kaki dan skuter blade di sekitar pusat bandar,” katanya.

IMG_7744Program itu dirasmikan oleh Exco Kesihatan, Kebajikan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi.

Hadir sama Datuk Bandar MBSA, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Shahrin berkata, pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya pelepasan peserta untuk aktiviti berbasikal dan acara berjalan kaki.

Katanya, program itu turut menampilkan persembahan pentas oleh kombo MBSA, aktiviti senamrobik, pertandingan pakaian paling kreatif, aktiviti mewarna dan cabutan bertuah.

“Bagi menarik penyertaan orang ramai, MBSA turut menyediakan chu chu train secara percuma, penyewaan basikal dan skuter elektrik, face painting, wall climbing dan fruit challenge,” katanya.

IMG_7477Dalam program itu, MBSA turut bekerjasama dengan Hospital DEMC, Pejabat Kesihatan Daerah dan Galeri Shah Alam.

Turut disediakan, tips kesihatan, pameran kesihatan, aktiviti mengikat reben merah berbentuk hati, jualan dan sewaan basikal, lorong seni dan pameran pencegahan denggi.

Terdahulu, Hari Tanpa Kenderaan dilancarkan pada Januari lalu yang akan dilaksanakan secara berterusan minggu kedua Ahad, setiap bulan.

=EZY=