Categories
SELANGOR

Isu tanah MCA: Bee Yin sedia ke mahkamah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 30 SEPT : Fakta sebenar berkait dakwaan penyelewengan pembelian tanah oleh MCA pada kadar jauh lebih rendah akan didedahkan secara terperinci di mahkamah.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Damansara Utama, Yeo Bee Yin bersedia untuk mendedahkannya selepas Naib Presiden MCA, Chew Mei Fun memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

“Saya bersedia sekiranya beliau mahu membawa isu ini ke mahkamah kerana saya mengambil pendirian berani kerana benar.

“Setiap ahli politik atau parti politik tidak boleh ambil tanah atau membeli pada kadar bukan harga pasaran.

“Apa yang dilakukan itu telah menghakis kepercayaan rakyat terhadap beliau, apatah lagi ketika itu Mei Fun adalah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mei Fun yang mahu menyaman ADN DAP itu atas dakwaannya berkait isu pembelian tanah oleh MCA dengan harga RM1 sekaki persegi di Kampung Chempaka.

Pembelian dibuat pada 2007 ketika Kerajaan Negeri masih diteraju Barisan Nasional (BN).

Bee Yin mendedahkan, perkara itu terbongkar selepas MCA membuat permohonan bagi menukar status tanah ‘water body’ itu kepada status komersial di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), awal tahun ini.

=EZY=