Categories
KENYATAAN MEDIA

Persoalan RCI-Forex, apa jawapan?

Saya terpanggil untuk memberi sedikit ulasan berkenaan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) mengenai kerugian pertukaran mata wang asing (forex) yang telah tamat.

Masih terdapat beberapa persoalan yang telah dibangkitkan DS Anwar Ibrahim sewaktu pendengaran yang masih belum terjawab, termasuk:

1. DS Anwar telah meminta Tan Sri Nor Mohd Yakcop meletak jawatan; jika tidak, beliau akan dipecat kerana bertanggungjawab di atas kerugian puluhan bilion ringgit.

Persoalannya di sini: mengapa selepas peletakan jawatan beliau, Tun Abdullah telah melantik TS Nor Mohd Yakcop selaku Menteri Kewangan? Siapa yang menerima manfaat dari pelantikan ini?

Yang paling menghairankan, RCI langsung tidak memanggil Tun Abdullah atau bertanya tentang isu ini.

2. DS Anwar ada menyebut di Parlimen pada April 2012, bahawa Kementerian Kewangan telah menjelaskan bahawa kerugian Forex ’92-’93 adalah RM5.7 bilion. Tetapi mengapa Perdana Menteri, Menteri Kewangan pada ketika itu tidak disoal dalam RCI ini?

RINGGIT (NEW)3. DS Anwar juga ada menyebut: Jangan jadikan RCI ‘sarkis politik’ untuk mengecam sesiapa selepas 27 tahun telah berlalu, walhal soalan penting tidak dijawab. Namun jelas apa yang kita saksikan adalah RCI menjadi gelanggang untuk menyerang musuh politik. Mengapa ini dibiarkan berlaku?

4. Pengerusi RCI, Tan Sri Sidek, cukup memberi fokus kepada surat Ketua Audit Negara sebelum akaun Bank Negara Malaysia diaudit, walhal kerajaan ketika itu perlu memaklumkan laporan audit yang disahkan BNM dan Ketua Audit Negara. Mengapa?

Saya berharap bahawa pihak berwajib akan menjawab isu-isu yang saya timbulkan, demi ketelusan, kebenaran dan keadilan.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Presiden KEADILAN
30 September 2017