Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri sedia bantu urus jenazah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Kerajaan Negeri bersedia menghulurkan bantuan bagi memudahkan urusan jenazah mangsa yang terlibat dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di Jalan Keramat Hujung, di sini, awal pagi tadi.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu diputuskan dalam perbincangan ringkas bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Datuk Dusuki; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan wakil Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Kita bersedia menghulurkan bantuan dari segi kenderaan van jenazah bagi memudahkan 24 mangsa dibawa ke kampung masing-masing.

“Selain itu, kita juga bersedia menghulurkan bantuan lain termasuk memberi kaunseling kepada keluarga mangsa kerana saya dimaklumkan ini adalah antara insiden besar yang membabitkan nyawa pelajar dan guru,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, Jabagan Agama Islama Selangor (JAIS) dan JAWI juga akan mengadakan kerjasama supaya semua urusan jenazah dapat berjalan lancar.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa atas musibah yang menimpa mereka.

“Kita turut merasa sedih dan berduka cita atas musibah ini dan mendoakan semoga roh mangsa yang terkorban akan mendapat rahmat dan ditempatkan di syurga yang penuh dengan nikmat Allah SWT.

“Saya juga mendoakan semoga keluarga mangsa diberi kekuatan dan ketabahan dalam melalui ujian juga ketentuan daripada Allah,” katanya.

IMG_8548 IMG_8442