Categories
PBT SELANGOR

Kerajaan Negeri sedia kaji dasar

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 29 SEPT: Kelulusan festival makanan dan minuman membabitkan minuman keras akan diputuskan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hanya selepas terma serta syarat dipenuhi penganjur.

Exco Kanan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, ia adalah bidang kuasa PBT berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan untuk memberi kebenaran atau tidak bukan diputuskan Kerajaan Negeri.

Katanya, Kerajaan Negeri bagaimanapun sedia mengkaji dasar untuk diikuti PBT jika terdapat keperluan.

“Kita sentiasa mendengar bantahan. Sekiranya ada keperluan untuk mengubah dasar kita juga bersedia untuk melakukannya, namun setakat ini tiada masalah.

“Penganjuran sebegini juga bukan pertama kali tetapi sudah diluluskan sebelum ini dan tidak menimbulkan masalah,” katanya pada sidang media.

Chang Khim berkata, dasar Kerajaan Negeri adalah menghormati hak setiap rakyat di Selangor tanpa mengira agama dan kaum seperti ditegaskan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

TENG (3)Katanya, kelulusan juga diberikan selepas PBT mempertimbang permohonan dan mendengar bantahan pihak tertentu.

“Inilah demokrasi iaitu kita dengar kehendak dan suara semua pihak serta mempertimbang berdasarkan undang-undang sedia ada. Seperti sekarang, ada PBT yang memberi kelulusan tetapi ada juga yang masih tidak membuat keputusan kerana terdapat syarat tidak dipenuhi penganjur,” katanya.

Sebelum ini, Majlis Perbandaran Klang membenarkan penganjuran ‘Centro Mall German Food & Baverage Festival’ selepas penganjur mematuhi syarat ditetapkan.

Penganjur turut menerima sokongan bersyarat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.

MPK juga mengenakan syarat utama iaitu orang Islam tidak dibenarkan menghadiri festival yang dijadual berlangsung, pada 12 dan 13 Oktober ini.

Pada masa sama, Majlis Bandaraya Petaling Jaya mengakui masih belum memberi kelulusan permohonan penganjuran Oktoberfest 2017 kerana penganjur tidak mematuhi syarat dikenakan.