Categories
KENYATAAN MEDIA

Keselamatan tahfiz: Antara pindaan Akta 550 dan penguatkuasaan enakmen

OLEH: AMIDI ABDUL MANAN
Institusi tahfiz dikategorikan sebagai sekolah agama rakyat. Ia biasanya berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

Sebagai sebuah institusi pendidikan kerakyatan, penubuhannya datang daripada inisiatif rakyat. Walaupun demikian sekolah agama rakyat masih tertakluk dengan pelbagai syarat dan peraturan seperti yang telah ditetapkan di negeri masing-masing.

Kebiasaannya operasi sebuah sekolah agama rakyat bermula apabila kebenaran untuk beroperasi secara sementara diberikan oleh pihak yang berwajib.

Ia tertakluk di bawah Enakmen Kawalan Sekolah-sekolah Agama Negeri. Struktur pengurusan mestilah jelas agar ada pihak atau individu yang boleh dipertanggungjawabkan sekiranya terdapat masalah dan isu yang timbul.

Ketika inilah proses pengumpulan dana berlaku. Pelajar mula mendaftar dan guru mula menjalankan tugasnya. Bangunan yang biasanya dalam keadaan yang amat sederhana dijadikan tapak permulaan bagi sebuah sekolah agama rakyat.

Sebelum tempoh kebenaran beroperasi secara sementara tamat, pihak (JAIN) akan melakukan pemeriksaan bagi memastikan segala keperluan sebagai sebuah institusi pendidikan dipenuhi.

tahfizSecara jelas di bawah enakmen, kelulusan pendaftaran juga bergantung kepada aspek keselamatan dan kesihatan. Sudah tentu keselamatan bangunan akan dirujuk kepada Jabatan Bomba dan PBT manakala kesihatan pula diperiksa oleh Jabatan Kesihatan.

Antara aspek yang turut diteliti adalah kelulusan guru, kemudahan pembelajaran, kesesuaian bangunan dan lain-lain keperluan yang berkaitan.

Sekiranya semua prosedur berlangsung seperti yang sepatutnya tiada sebab mengapa institusi pendidikan agama rakyat perlu diletakkan di bawah Akta 550.

Akta 550 adalah satu akta yang digubal bagi memastikan perjalanan institusi pendidikan di Malaysia berjalan seperti mana yang dikehendaki oleh kerajaan Malaysia. Semua kuasa dipusatkan kepada menteri yang dipertanggungjawabkan.

Antara yang menjadi perhatian adalah kelulusan ikhtisas guru. Setiap tenaga pengajar perlu mempunyai sijil atau kelayakan yang diperakui oleh pihak kerajaan.

Oleh yang demikian pihak kementerian memerlukan satu bentuk penilaian bagi membolehkan para tenaga pengajar tahfiz diiktiraf oleh kerajaan.

Persoalan silibus pengajian juga perlu difikirkan. Pusat pengajian tahfiz biasanya menumpukan pengajian al-Quran. Ada pusat-pusat tahfiz tidak menyediakan para pelajarnya untuk menduduki peperiksaan awam seperti PT 3, SPM mahu pun STAM. Perkara ini adalah perkara yang amat sensitif dan bakal menimbulkan perdebatan yang panjang.

Had umur juga perlu diberikan perhatian. Pelajar seawal 5 tahun sudah memulakan pengajian di tahfiz. Ada yang selesai menghafal sesingkat 3 tahun dan ada yang mengambil masa yang lama dalam menyudahkan hafalan. Perkara sebegini juga perlu dibincangkan dengan teliti.

Pelbagai perkara perlu diteliti sebelum cadangan memasukkan institusi tahfiz di bawah Akta 550. Adakah Enakmen Kawalan Sekolah-sekolah Agama Negeri tidak memadai? Sedangkan pihak JAIN dan MAIN boleh menarik balik kelulusan pendaftaran jika syarat-syarat penubuhan tidak dipenuhi.

Institusi pendidikan agama rakyat ini juga terkait dengan kesahihan pengajian agama yang diajarkan. Pertumbuhan ajaran sesat juga perlu diberikan perhatian yang mana pemantauan ini memerlukan kepakaran di bawah JAIN.

Oleh itu secara jelasnya mengupayakan penguatkuasaan terhadap institusi pengajian agama adalah jawapan yang lebih praktikal berbanding meminda Akta 550 atau dengan kata lain memindahkan sekolah agama rakyat dari pihak berkuasa agama negeri kepada pentadbiran kerajaan persekutuan.

Jika keselamatan premis yang menjadi punca kepada cadangan ini, penguatkuasaannya adalah pada pihak berkuasa tempatan dan bomba bukan memasukkan institusi tahfiz di bawah Akta 550.

Keutamaan perlu diberikan oleh Majlis Agama Islam Negeri dalam mengagihkan hasil zakat untuk meningkatkan keselamatan premis-premis pengajian agama seperti tahfiz, prasekolah Islam, pusat pengajian warga emas Islam dan lain-lain lagi yang seumpamanya.

Kita khuatir langkah memindahkan pentadbiran sekolah agama dari negeri kepada persekutuan mempunyai agenda yang tersembunyi, bukan untuk menyelesaikan isu keselamatan.
* AMIDI ABDUL MANAN adalah Pengerusi, Pertubuhan Pendidikan Sejahtera Malaysia.(PENDIDIK)