Categories
SELANGOR

Pesawah bencana BLB terima bantuan RM1.4 juta

OLEH AFIX REDZUAN

SUNGAI PANJANG, 27 SEPT: Sejumlah RM1.4 juta diserahkan kepada 1,500 pesawah kawasan Sabak yang berdepan bencana penyakit hawar daun bakteria (BLB).

Sumbangan 1,660 cek itu disempurnakan Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib pada Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Kepada Pesawah Bencana BLB Mukim Panchang Bedena Daerah Sabak Bernam di Dewan Parit 6, Sungai Panjang, Sabak Bernam.

Zaidy berkata, bencana BLB yang berlaku pada musim 2/2016 itu menjejaskan pendapatan pesawah dan Kerajaan Negeri mengumumkan bantuan kewangan berjumlah RM8.5 juta.

“Kawasan bencana bermula dari Skinchan hingga ke Bagan Terap mencecah keluasan sehingga 42 peratus atau lebih kurang 5,500 hektar,” katanya.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri Sabak, Sallehen Mukhyi dan Pegawai Pertanian Daerah Sabak Bernam, Aini Waznati Lasuan.

Dalam ucapannya, beliau mengingatkan pesawah supaya menukar cek sumbangan sebelum tiba tarikh luput selain meminta pesawah beragama Islam menunaikan zakat padi.

unknown (2)