Categories
SELANGOR

Kompaktor baru mampu kutip 12 tan sampah sehari

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 19 SEPT: Lori kompaktor baru yang disediakan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) mampu memuatkan 12 tan muatan kutipan sampah pada satu-satu masa.

Pengurus Besar KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata, muatan kompaktor baru itu mampu memampatkan kutipan sisa pepejal seperti sampah domestik, sisa kebun, pukal dan longgok di kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan.

“Selain mampu menempatkan lebihan muatan sehingga 12 tan sampah, lori baru ini boleh menampung bekalan air sampah yang mengalir hasil daripada tekanan dan pemampatan kutipan sampah.

“Jumlah ini dilihat lebih tinggi berbanding lori lama yang hanya mampu mengutip sisa pepejal sekitar lima atau enam tan sahaja.

990f420d-7641-4fe1-8f91-16c6d6363eed“Justeru, kami beri jaminan, penggunaan lori baru ini lebih terjamin dari segi pengurusan sisa pepejal negeri selepas ini,” katanya.

Beliau berkata, selaras dengan inisiatif Smart Selangor, kompaktor ini juga setiap satunya dilengkapi teknologi pintar seperti Automatic Vehicle Locating System (AVLS) dan ‘Load Cell’ dan pengenalan kepada aplikasi pintar I-Clean.

Ketiga-tiga teknologi ini akan diakseskan terus dengan pusat aduan KDEBWM, Command Centre yang dikendali empat pegawai khidmat pelanggan bermula daripada jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

“Orang ramai boleh membuat aduan secara terus menerusi aplikasi I-Clean yang boleh dimuaturun daripada Play Store dan Google Strore.

“Mudahnya, pengguna buat aduan dan dalam tempoh singkat sahaja, mereka akan dapat mengetahui punca atau isu yang berlaku di kawasan mereka.

“Ini semua dipantau pusat aduan KDEBWM, Command Centre yang dikendali pegawai bertugas,” katanya.

Terdahulu, beliau bercakap kepada SelangorKini ketika pada pada Majlis Penyerahan Lori Kompaktor Baru KDEB di Kilang Green Concerns, pagi ini.

Dalam perkembangan itu, KDEBWM menyerahkan 14 lori kompaktor masing-masing kepada sub kontraktor Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Ia melibatkan lapan unit kepada MPS dan enam unit lagi kepada MPAJ bagi mengurus kutipan sisa pepejal domestik di kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Penyerahan lori itu sejajar dengan komitmen KDEB membawa perubahan dan pembaharuan kepada perkhidmatan kutipan sisa pepejal yang lebih efektif.

=EZY=