Categories
NASIONAL

Waspada kes demam denggi meningkat

KUALA LUMPUR 19 SEPT: Kes demam denggi bagi tempoh 3 hingga 9 September menunjukkan peningkatan dengan 1,223 kes berbanding 1,171 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun peningkatan itu tidak ketara, langkah pencegahan dan kawalan perlu diambil segera supaya trend pertambahan kes pada penghujung tahun seperti sebelum ini dibendung.

Bagaimanapun, katanya jumlah kumulatif kes denggi direkodkan berkurang sebanyak 11,171 kes kepada 66,906 berbanding 78,077 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

“Jumlah keseluruhan kematian demam denggi juga menurun 27 kematian dengan 149 kematian dilaporkan pada tempoh sama tahun ini berbanding 176 kematian pada 2016,” katanya dalam satu kenyataan.

aedesDr Noor Hisham berkata sejumlah 438 lokaliti wabak demam denggi dilaporkan di 14 negeri dan 71 lokaliti ‘hotspot’ semasa direkodkan di enam negeri.

Dalam pada itu katanya satu kes chikungunya direkodkan pada minggu tersebut di Sungai Udang, Yan, Kedah, menjadikan jumlah keseluruhan kes chikungunya dilaporkan sehingga 9 September tahun ini sebanyak 255 kes iaitu 189 kes di Kedah, Selangor (33), Johor (24), Kelantan (7) dan Perak, dua kes.

=EZY=