Categories
GLOBAL

Korea Utara ancam ‘tenggelamkan’ Jepun

SEOUL 16 SEPT: Sebuah agensi kerajaan Korea Utara mengancam menggunakan senjata nuklear untuk ‘menenggelamkan’ Jepun serta membawa ‘abu dan kegelapan’ terhadap Amerika Syarikat (AS).

Ancaman itu dibuat kerana kedua-dua negara itu menyokong resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam sekatan terbaharu ekoran ujian misil keenam dan pa­ling kuat oleh Pyongyang pada 3 September lalu, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Jawatankuasa Keamanan Asia Pasifik Korea yang menguruskan propaganda dan hubungan luar negara komunis itu, turut meminta Majlis Keselamatan PBB dibubarkan.

Agensi itu mendakwa majlis tersebut sebagai suatu ‘alat jahat’ yang dianggotai oleh negara-negara yang ‘disogok wang’ selain patuh kepada arahan AS.

AS KOREA UTARA“Empat gugusan kepulauan perlu ditenggelamkan ke dalam laut oleh bom nuklear. Jepun tidak lagi perlu wujud berhampiran kami,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenya­taan yang disiarkan agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA.

Majlis Keselamatan terdiri daripada 15 anggota negara sebulat suara meluluskan satu draf resolusi AS dalam sekatan baharu pada Isnin lalu termasuk sekatan mengeksport tekstil iaitu eksport kedua terbesar Korea Utara selepas arang batu dan sekatan import gas asli. Dua sekutu Korea Utara iaitu China dan Rusia turut menyokong resolusi itu.

Pyongyang bertindak balas terhadap sekatan itu dengan memberi ancaman untuk menghancurkan AS, Jepun dan Korea Selatan.

“Mari kita kecilkan tanah besar AS menjadi abu dan kegelapan. Mari kita lepaskan rasa sakit hati dengan tindak balas untuk menggerakkan semua usaha yang disusun hingga kini,” kata kenyataan sama.

northkoreamapAncaman Pyongyang juga diberi kepada Jepun kerana ‘mengikut telunjuk’ AS dan Korea Selatan dianggap sebagai ‘pengkhianat dan anjing’ AS.

Jepun dengan sekeras-kerasnya membidas kenyataan Korea Utara itu.

“Kenyataan ini bersifat provokatif keterlaluan dan betul-betul jahat. Ia suatu yang memburukkan lagi ketegangan serantau dan tidak boleh diterima,” kata Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshihide Suga pada satu sidang akhbar semalam.

Secara teknikal, AS dan Korea Selatan masih berperang dengan Korea Utara disebabkan konflik Korea tahun 1950 hingga 1953 berakhir dalam bentuk gencatan senjata dan bukannya perjanjian damai.

=EZY=