Categories
GLOBAL

Korea Utara mahu bangun senjata nuklear dan ICBM lebih canggih

SEOUL 10 SEPT: Agensi media Korea Utara menyambut ulang tahun ke-69 penubuhan negara itu semalam dengan menggesa pembangunan program senjata nuklear yang lebih berkuasa sebagai bantahan terhadap sekatan antarabangsa, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Tentera Korea Selatan berkata, pihaknya sedang menjalankan pemantauan ke atas Pyongyang memandangkan terdapat spekulasi yang mengatakan ia bakal melancarkan satu peluru berpandu atau satu ujian nuklear lain bagi menandakan penubuhan Republik Rakyat Demokratik Korea Utara pada tahun 1948.

Negara berkenaan telah melancarkan ujian nuklear yang kelima pada 9 September tahun lalu dan melancarkan satu lagi ujian serupa minggu lalu.

Korea Utara mengatakan ia adalah bom hidrogen yang boleh dipasang pada peluru berpandu sekali gus menyebabkan seluruh dunia mengutuk tindakan dan menggesa supaya mengenakan sekatan selanjutnya.

SLBM Korea Utara“Sektor pertahanan selaras dengan dasar parti Byungjin yang (membangunkan ekonomi dan senjata nuklear pada masa yang sama) perlu mencipta senjata Juche yang lebih canggih,” kata akhbar rasmi Korea Utara, Rodong Sinmun yang merujuk kepada falsafah negara iaitu Juche atau kepercayaan diri.

Akhbar sebaran rasmi parti pemerintah Korea Utara itu turut menggesa supaya lebih ‘banyak majlis ajaib’ diadakan seperti ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) bagi menghalang cubaan Amerika Syarikat (AS) untuk melemahkan pemimpinnya, Kim Jong-un.

“Tidak kira bagaimana AS dan boneka-bonekanya menimbulkan kekacauan ke atas republik kami yang hakikatnya memiliki pasukan tentera hebat dan senjata nuklear antara paling kuat.

Korea Utara“Wilayahnya telah bertukar menjadi benteng, semua rakyatnya dilengkapi senjata sekali gus akan terus kekal sebagai kubu besi,” katanya.

Dalam satu ulasan lain, Sinmun berkata, AS akan terus menerima ‘pakej hadiah’ dalam pelbagai bentuk dan saiz selagi ia berpegang kepada dasar permusuhan ke atas Korea Utara.

Sementara itu, jurucakap kementerian pertahanan Korea Selatan berkata, tiada sebarang tanda-tanda bahawa Korea Utara bersiap sedia melancarkan ujian nuklear atau peluru berpandu semalam.

“Pasukan tentera telah mempertahankan kedudukannya paling tinggi selain terus memantau Korea Utara dengan lebih dekat namun tiada sebarang aktiviti luar biasa,” katanya.

=EZY=