Categories
SELANGOR

Kukuh integriti, Wakaf Selangor tandatangani Ikrar Bebas Rasuah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 SEPT : Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) komited memperkukuh nilai integriti pentadbirannya menerusi lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) membabitkan kakitangannya.

Pengerusi PWS, Dato’ Setia Ramli Mahmud berkata, komitmen itu seiring hasrat perbadanan itu untuk menjalankan tanggungjawab secara amanah tanpa berlakunya budaya rasuah dalam pentadbirannya.

“Inisiatif ini menggambarkan kesungguhan dan keazaman PWS dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi gejala rasuah ini.

IMG_20170906_120616“Kita perlu ada kesedaran dalam diri masing-masing untuk mengatakan tidak kepada perkara yang tidak betul dalam segala tindakan kita.

“Ia menjadi matlamat PWS untuk terus bergerak maju menjadi sebuah institusi pembangunan wakaf berintegriti dan amanah dalam membangunkan harta wakaf di Selangor,” katanya ketika berucap pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah di Bangunan Sultan Idris Shah, di sini.

Majlis lafaz dan menandatangani ikrar melibatkan Pengurusan Tertinggi PWS, warga kerja serta anak syarikat perbadanan itu, Urus Maju Ehsan (M) Sdn Bhd yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Dato’ Mohamad Yacob.

Lafaz ikrar turut disaksikan Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Wan Ramli Wan Abdullah melibatkan lebih 100 warga kerja perbadanan itu.

SPRMPada majlis sama, Jabatan Audit Negara (JAN) cawangan Selangor turut menganugerahkan Sijil Audit Bersih kepada Penyata Kewangan PWS yang disampaikan Timbalan Pengarah Audit Selangor, Rokiah Sahat.

Terdahulu, IBR mula dilaksanakan sebagai inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh SPRM untuk memastikan individu yang menandatangani ikrar itu lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas secara telus.

Sebanyak 90 pelbagai agensi, pihak berkuasa tempatan dan institut pendidikan tinggi di Selangor sudah menandatangani lafaz ikrar IBR sejak diperkenalkan awal tahun lalu.

=EZY=