Categories
GLOBAL

Letusan Gunung Agung semakin hampir, 75,000 penduduk pindah

GLOBAL 27 SEPT: Kenderaan dipenuhi makanan, topeng muka dan tilam dihantar untuk membantu lebih 75,000 penduduk yang dipindahkan, bimbang letusan gunung berapi di Bali.

Gunung Agung, terletak 75 kilometer dari hab pelancongan Kuta, bergolak sejak Ogos lalu, mengancam untuk meletus buat kali pertama sejak 1963, sekaligus memberi tamparan hebat terhadap industri pelancongan Indonesia.

Gegaran kerap menunjukkan magma cair masih naik ke permukaan proses letusan memasuki ‘fasa kritikal,’ kata agensi pencegahan bencana nasional, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Ia berkata, jumlah penduduk yang berpindah meningkat berikutan kebimbangan gunung berapi itu bakal meletus.

“Agensi pencegahan bencana tempatan melaporkan, sehingga jam 12 tengah hari semalam, angka penduduk yang berpindah mencecah 75,673 orang di 377 pusat di sembilan daerah. Jumlahnya dijangka meningkat,” kata jurucakapnya, Sutopo Purwo Nugroho.

Gunung AGung3Kira-kira 62,000 penduduk tinggal dalam zon bahaya sebelum berpindah, namun penduduk di luar kawasan itu turut mengambil langkah sama.

Pusat Gunung Berapi dan Pencegahan Bahaya Geologi (PVMBG) berkata, ada peningkatan dalam gegaran dengan 564 aktiviti direkodkan kelmarin.

Bercakap di daerah Klungkung, Presiden Joko Widodo (Jokowi) memaklumkan penduduk, kerajaan akan melakukan yang terbaik bagi mengurangkan kerugian ekonomi ketika perpindahan.

“Bukan mudah menguruskan letusan gunung berapi kerana tiada kepastian bila ia akan berlaku atau adakah ia benar-benar berlaku?

“Saya meminta penduduk berhampiran Gunung Agung supaya mendengar arahan pegawai, gabenor dan datuk bandar, supaya kami dapat meminimumkan impak letusan gunung berapi ini,” katanya.

Agensi bencana nasional Indonesia menghantar 640,000 topeng muka, 12,500 tilam, 8,400 selimut dan 50 khemah. Kerajaan pusat memiliki dana bantuan berjumlah hampir AS$150 juta (RM630.98 juta) untuk menangani bencana alam.

PVMBG berkata, letusan Gunung Agung pasti berlaku susulan petunjuk gegaran dan asap keluar daripada kawah selain peningkatan aktiviti seismik.

“Ada potensi tinggi berlaku letusan dan ia tidak menunjukkan tanda reda,” kata Kasbani dari pos pemantau Gunung Agung di perkampungan Rendang di sini, dipetik kompas.com.

=EZY=