Categories
EKONOMI

Harga minyak dunia turun 1% selepas naik tertinggi 26 bulan

NEW YORK 27 SEPT: Harga minyak turun satu peratus semalam selepas pelabur mengambil untung daripada rali yang melonjakkan harga ke paras tertinggi 26-bulan dicetuskan ancaman Turki akan menyekat eksport minyak dari wilayah Kurdistan, Iraq.

Pasaran turut berada dalam tekanan menjelang data inventori mingguan minyak AS yang dijangka menyaksikan peningkatan simpanan minyak bagi empat minggu berturut-turut, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Brent berakhir AS$0.58 atau satu peratus lebih rendah kepada AS$58.44 setong selepas mencecah AS$59.49, iaitu paras tertingginya sejak Julai 2015 dan lebih tinggi 34 peratus daripada paras terendah 2017.

Dagangan hadapan minyak mentah AS, West Texas Intermediate (WTI) didagangkan pada AS$0.34 atau 0.7 peratus lebih rendah pada AS$51.88 setong apabila mencecah paras tertingginya dalam tempoh lima bulan kepada AS$52.43.

Presiden Turki, Tayyip Erdogan mengumumkan akan memotong bekalan saluran paip yang membawa kira-kira 500,000 hingga 600,000 tong sehari (bpd) minyak mentah daripada Utara Iraq ke pelabuhan Turki di Ceyhan, sebagai tekanan ekonomi terhadap rantau Kurdish yang melaksanakan referendum kemerdekaan.

Potensi kehilangan bekalan itu akan digabungkan dengan 1.8 juta bpd pengurangan pengeluaran oleh ahli OPEC dan bukan-OPEC akan menyebabkan pengurangan ketara bekalan minyak dunia.

Bahkan operasi penyulingan AS turut dijangka naik 3.6 peratus daripada 83.2 peratus kapasiti keseluruhan dalam minggu itu berakhir 15 September lalu, berdasarkan undian Reuters semalam.

Pengurusan Maklumat Tenaga AS (EIA) mengumumkan stok simpanan minyak AS melonjak 4.6 juta tong apabila import bahan api itu meningkat 734,000 bpd dan pengeluarannya naik 157,000 bpd kepada 9.51 juta bpd, iaitu paras sebelum bencana taufan Harvey melanda Texas pada 25 Ogos lalu.

=EZY=