Categories
SELANGOR

Logo Smart Selangor: Gabungan kerajaan dan rakyat realisasi misi

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 9 SEPT: Penampilan logo Smart Selangor yang baharu melambangkan Kerajaan Negeri bersama rakyat bekerjasama dengan cara ‘connected by digital connectivity’ untuk generasi masa akan datang.

Timbalan Pengarah Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah berkata, konsep itu berjaya dizahirkan oleh salah seorang daripada 26 peserta dari pelajar terbaik yang menyertai pertandingan rekaan logo Smart Selangor pada Ogos lalu.

Katanya, rekaan dari penuntut Universiti Asia Pasific, Winnie Tan Jia itu juga berjaya memberi sentuhan baharu melalui aspirasi beliau selaku generasi muda yang memandang masa depan lebih berteknologi selari usaha menjadikan Selangor Smart City menjelang 2025.

“Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sendiri menyukai suka dan memilih konsep tersebut seakan dua tangan dalam bentuk S itu seperti menggambarkan kerajaan dan rakyat bergabung bersama selari dengan perkembangan teknologi.

Smart_Selangor Logo“Kita juga memilih pelajar untuk mereka cipta logo adalah kerana terdapat 40 peratus generasi muda di Selangor yang kita lihat akan menjadi penyambung kepada perkembangan Smart Selangor.

“Oleh itu kita mahukan idea baharu yang lebih futuristik kerana konsep ini lah yang akan dibawa untuk perkembangan generasi muda masa kini bila tiba 2025 nanti,” katanya kepada SelangorKini.

Fahmi juga menjelaskan, sebelum ini seramai 26 pelajar dari univeristi di Selangor berentap menghasilkan logo Smart Selangor bagi tempoh 48 jam dengan tawaran hadiah utama RM3,000.

Katanya, peserta diberi penerangan terlebih dahulu tentang falsafah, konsep dan kandungan Smart Selangor yang perlu diterjemahkan melalui satu logo sebelum tiga yang terbaik dibentangkan kepada Dato’ Menteri Besar.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dalam facebooknya melahirkan rasa bangga memperkenalkan logo baharu tersebut selari dengan konsep menjadikan Selangor sebagai Negara Pintar Premier di ASEAN menjelang 2025.

=EZY=