Categories
NASIONAL

MB rakam takziah pemergian Pak Jabit

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 SEPT: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali merakamkan takziah kepada keluarga aktivis KEADILAN Pahang, Man Kadir Shamsi yang meninggal dunia pagi ini.

Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Pak Jabit meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Lanchang di sini jam 7.10 pagi ini.

Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor turut menzahirkan rasa sedihnya dan mendoakan allahyarham mendapat husnul khatimah.

“Sedih menerima khabar pemergian aktivis KEADILAN Pahang, Man Kadir atau Pak Jabit.

“Saya mendoakan almarhum mendapat husnul khatimah,” tulisnya di Twitternya.

Terdahulu, berita kematian pelakon filem Hantu Kak Limah itu dimaklumkan salah seorang anaknya menerusi akaun Facebook dan dikongsi rakannya pagi ini.

Allahyarham akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Rantau Panjang di sini selepas solat zohor hari ini.

Sebelum ini, Pak Jabit terkenal menerusi lakonannya dalam filem-filem komedi arahan Mamat Khalid antaranya Man Laksa, Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.