Categories
PBT SELANGOR

MBSA mula kurangkan penghantaran sampah ke SATS sejak April

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mula mengurangkan penghantaran sampah ke Shah Alam Transfer Station (SATS) sejak April lalu.

Ketua Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Mohd Azmi Amer Khan berkata, keputusan itu dibuat bagi menjimatkan kos memandangkan SATS mengenakan ‘tipping cost’ agak tinggi iaitu lebih RM60 per tan.

Katanya, pihaknya secara beransur mula menghantar lebih banyak kompektor ke Tapak Pelupusan Jeram.

“Sepertimana MPSJ dan MBPJ, kita turut membuat keputusan kurangkan ke SATS atas faktor kos.

“Pemberhentian penghantaran ke SATS tidak menambah atau mengurangkan bajet diluluskan MBSA bagi kos pelupusan sampah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Pendengaran Tertutup Jawatankuasa Pilihan Mengenai PBT (JP-PBT) mengenai Implikasi Pemberhentian Operasi SATS, di sini, pada 21 September lalu.

Pendengaran lebih dua jam itu dipengerusikan Dr Idris Ahmad (Ahli Dewan Negeri Ijok) dan disertai ahli jawatankuasa lain iaitu R. Rajiv (Bukit Gasing), Ng Tien Chee (Balakong) dan Dr Halimah Ali (Selat Klang).

Mohd Azmi berkata, sebanyak 44 kompektor melakukan pelupusan sampah di SATS bagi tempoh 1 Julai 2016 hingga 31 Mac lalu, manakala baki 34 kompektor dihantar ke Jeram dalam tempoh sama.

Katanya, jumlah itu kemudiannya dikurangkan ke 20 kompektor sahaja sementara 65 kompektor lagi dihantar ke Jeram, bagi tempoh 1 April hingga 20 Julai lalu.

“Selepas penutupan SATS pada 21 Julai lalu, kita menghantar sepenuhnya kompektor ke Jeram,” katanya.

=EZY=