Categories
SELANGOR

Keputusan Kerajaan Negeri tepat, jimat kos pengurusan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 26 SEPT: Penjimatan dicatatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan pelupusan sampah di Tapak Pelupusan Jeram menunjukkan keputusan Kerajaan Negeri adalah tepat.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, ia membolehkan PBT menjimatkan kos pengurusan seterusnya menyalurkan penjimatan untuk kos lain.

“Antaranya, PBT boleh menyalurkan lebih banyak sumber untuk membangunkan infrastruktur setempat.

“Dengan ini, penutupan Shah Alam Transfer Station bukan sahaja tidak menjejaskan kerja kutipan malah ia memberi manfaat kepada rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 21 September lalu, empat PBT iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya mendedahkan mereka dapat berjimat dengan penutupan operasi SATS.

Mereka mendakwa, penghantaran ke Jeram lebih menjimatkan dengan ‘tipping cost’ RM36 per tan berbanding RM64.55 per tan di SATS.

PBT terlibat juga mengakui tidak menerima sebarang aduan atau tambahan bajet daripada kontraktor terlibat, setakat ini.

Pendengaran lebih dua jam itu dipengerusikan Dr Idris Ahmad (Ahli Dewan
Negeri Ijok) dan disertai ahli jawatankuasa lain iaitu R. Rajiv (Bukit Gasing), Ng Tien Chee (Balakong) dan Dr Halimah Ali (Selat Klang).

Idris berkata, pendengaran itu menunjukkan khabar angin kononnya pengurusan sisa pepejal di PBT terlibat bakal kucar kacir ternyata tidak benar.

“Kita diuar-uarkan pengurusan sampah akan lingkup, sebab itu kita adakan pendengaran tetapi ternyata sebaliknya berlaku.

“Nampaknya penutupan SATS yang dimiliki Kerajaan Persekutuan adalah lebih baik buat kita,” katanya.

=EZY=

Categories
PBT SELANGOR

MBSA mula kurangkan penghantaran sampah ke SATS sejak April

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mula mengurangkan penghantaran sampah ke Shah Alam Transfer Station (SATS) sejak April lalu.

Ketua Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Mohd Azmi Amer Khan berkata, keputusan itu dibuat bagi menjimatkan kos memandangkan SATS mengenakan ‘tipping cost’ agak tinggi iaitu lebih RM60 per tan.

Katanya, pihaknya secara beransur mula menghantar lebih banyak kompektor ke Tapak Pelupusan Jeram.

“Sepertimana MPSJ dan MBPJ, kita turut membuat keputusan kurangkan ke SATS atas faktor kos.

“Pemberhentian penghantaran ke SATS tidak menambah atau mengurangkan bajet diluluskan MBSA bagi kos pelupusan sampah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Pendengaran Tertutup Jawatankuasa Pilihan Mengenai PBT (JP-PBT) mengenai Implikasi Pemberhentian Operasi SATS, di sini, pada 21 September lalu.

Pendengaran lebih dua jam itu dipengerusikan Dr Idris Ahmad (Ahli Dewan Negeri Ijok) dan disertai ahli jawatankuasa lain iaitu R. Rajiv (Bukit Gasing), Ng Tien Chee (Balakong) dan Dr Halimah Ali (Selat Klang).

Mohd Azmi berkata, sebanyak 44 kompektor melakukan pelupusan sampah di SATS bagi tempoh 1 Julai 2016 hingga 31 Mac lalu, manakala baki 34 kompektor dihantar ke Jeram dalam tempoh sama.

Katanya, jumlah itu kemudiannya dikurangkan ke 20 kompektor sahaja sementara 65 kompektor lagi dihantar ke Jeram, bagi tempoh 1 April hingga 20 Julai lalu.

“Selepas penutupan SATS pada 21 Julai lalu, kita menghantar sepenuhnya kompektor ke Jeram,” katanya.

=EZY=

Categories
PBT SELANGOR

Penutupan SATS: MPSJ tarik diri sejak 2016

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 22 SEPT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mendedahkan pihaknya memutuskan berhenti menghantar sampah ke Stesen Pemindahan Sisa Pepejal (Shah Alam Transfer Station-SATS), sejak 2016.

Pengarah Alam Sekitar, Azura Mohd Don berkata, MPSJ sebaliknya memilih untuk melaksanakan pelupusan sampah di Tapak Pelupusan Jeram dan Tanjung 12 seterusnya mengurangkan kos kepada RM7.43 juta.

Katanya, ia merupakan penjimatan ketara berbanding kos ditanggung bagi penghantaran ke SATS yang menelan belanja RM12 juta, pada 2012 dan 2013.

“Kita sememangnya sudah mengkaji faktor jarak dan kos sebelum ini dan mendapati terdapat penjimatan besar ke Tanjung 12 yang lebih dekat dan Jeram yang mengenakan ‘tipping cost’ lebih rendah.

“Melihat kepada kos terlalu tinggi di SATS, MPSJ secara berperingkat mula menghantar sampah ke Jeram, pada 2014 dan Tanjung 12, pada 2015,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Pendengaran Tertutup Jawatankuasa Pilihan Mengenai PBT (JP-PBT) berkenaan Implikasi Pemberhentian Operasi SATS, di sini, semalam.

Pendengaran lebih dua jam itu dipengerusikan Dr Idris Ahmad (Ahli Dewan Negeri Ijok) dan disertai ahli jawatankuasa lain iaitu R. Rajiv (Bukit Gasing), Ng Tien Chee (Balakong) dan Dr Halimah Ali (Selat Klang).

Azura berkata, kos pelupusan sampah MPSJ berkurangan kepada RM10.4 juta, pada 2014 dan RM9.98 juta, pada 2015.

“Penutupan SATS tidak memberi implikasi kewangan atau prestasi kutipan sampah di kawasan pentadbiran MPSJ.

“Ia juga tidak memberikan kos tambahan perbelanjaan kepada MPSJ dan kita juga tidak menerima aduan daripada kontraktor terbabit,” katanya.