Categories
SELANGOR

PADAT jamin keselamatan pelajar di muzium

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 15 SEPT: Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) memberi jaminan akan menjaga keselamatan pelajar yang menyertai program “Bermalam di Muzium”, di Muzium Sultan Alam Shah, di sini, sepanjang dua hari ia berlangsung.

Kurator, Mohamad Aris Sahid berkata, seramai 30 urus setia akan terlibat untuk menjamin keselamatan dan kelancaran program terbabit.

“Sebelum ini, dalam perbincangan dan mesyuarat kita sentiasa membincangkan isu keselamatan pelajar harus diutamakan.

“Urus setia yang bertugas akan sentiasa memantau mengikut syif ditetapkan,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata, pihaknya turut membentuk pasukan kecemasan yang akan membantu jika berlaku masalah kesihatan ketika program berlangsung.

Aris berkata, pelajar juga diberi peraturan untuk sentiasa bergerak dalam kumpulan dan bertanya kepada urus setia jika menghadapi sebarang masalah.

“Kita berharap program ini akan berjalan dengan baik tanpa sebarang kekangan, malahan diisi dengan pelbagai aktiviti menarik sehingga jam 12 tengah malam ini.

“Peserta akan tidur di dua galeri iaitu adat dan warisan serta sejarah bagi mengasingkan pelajar lelaki dan perempuan,” katanya.