Categories
SELANGOR

Program bermalam di muzium bakal pecah rekod

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 15 SEPT: Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) menampilkan kelainan dengan memperkenalkan program “Bermalam di Muzium” membabitkan 120 pelajar, di Muzium Sultan Alam Shah, di sini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Faizul Fitri Muslil berkata, program itu diadakan serentak di seluruh Malaysia dengan penyertaan 2,050 pelajar bersama Jabatan Muzium Malaysia.

Katanya, ia bagi mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records “Most Number of Participants Overnight Simultaneously For An Educational Programme At The Museum” menerusi aktiviti pendidikan paling ramai bermalam di muzium.

“Program kali ini membabitkan 32 muzium bermula jam 3 petang dan akan berakhir, pada jam 1 tengah hari esok dengan penyertaan pelajar berumur 14 hingga 17 tahun,” katanya.

Pada masa sama, Faizul berkata, program itu dianjurkan sempena sambutan Hari Malaysia, pada 16 September bagi memupuk semangat patriotik dan cintakan negera.

Katanya, pelbagai program turut dirangka berteraskan modul pendidikan dan pengisian menarik antaranya aktiviti dalam kumpulan, cabaran ikhtiar hidup serta tidur bersama artifak di dalam balai pameran.

“Kita harap program ini dapat mendidik dan membentuk generasi muda berpengetahuan berkenaan khazanah negara, di samping menerapkan budaya mengunjungi muzium,” katanya.