Categories
SELANGOR

Selangor tarik pelabur, PM ‘labur’ wang

SUBANG, 15 SEPT: Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu meningkatkan pelaburan Malaysia di Amerika Syarikat (AS) disifatkan sesuatu yang pelik.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu kerana kerajaan sepatutnya menggalakkan pelabur ke Malaysia, bukan mempertaruhkan sejumlah wang.

Katanya, situasi itu jelas berbeza di bawah pentadbirannya yang menyaksikan Kerajaan Negeri berusaha menarik pelabur asing untuk meningkatkan ekonomi Selangor.

“Sebelum saya datang ke Kampung Melayu Subang, pelabur dari Amerika Syarikat menyatakan akan meletakkan pelaburan besar (di Selangor) yang akan diumumkan dalam tempoh dua atau tiga minggu akan datang di Subang juga Klang.

“Ini bezanya Selangor dengan kerajaan lain kerana pelabur datang ke Selangor tetapi ada kerajaan bawa duit ke AS, faham atau tidak orang Subang,” katanya ketika berucap selepas Solat Jumaat dan Majlis Penyerahan Notis 5A, di Masjid Subang Perdana U3, di sini.

Terdahulu, dalam pertemuan bersama Presiden AS, Donald Trump, Najib mengumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan meningkatkan pelaburan di negara itu antara AS$3 bilion dan AS$4 bilion.

Najib berkata, ia bagi membantu memperkukuh ekonomi AS.