Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

Selangor sasar komponen utama lebar jaringan pelaburan serantau

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 SEPT: Kerajaan Negeri memberi jaminan untuk meletakkan dasar perniagaan terbaik menerusi teras pembangunan dan prinsip utama dalam urus tadbir pelaburan negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin berkata, jaminan itu diyakini mampu mewujudkan persekitaran pelaburan terbaik kepada pelabur dari dalam dan luar negara.

“Mewakili Kerajaan Selangor, saya memberi jaminan untuk mewujudkan dasar perniagaan yang sangat mesra dengan meletakkan premium besar dalam urus tadbir dengan akauntabiliti ketelusan dan pengurusan.

AZMIN (1)“Selangor sebagai negeri unik dengan ciri kepelbagaian etnik, bahasa dan agama diyakini mampu mewujudkan kekuatan untuk menyokong pembangunan elemen itu.

“Kekuatan ini terhasil berteraskan kepada teras perpaduan dan urus tadbir terbaik untuk kekal menyokong dasar kesederhanaan juga prinsip integriti yang diamalkan di negeri ini,” katanya pada Selangor ASEAN Business Conference 2017, di Setia City Centre Mall, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS), Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim; Pengarah Esekutif Invest Selangor, Dato’ Hassan Azhari dan Pengerusi Malaysia bagi Majlis Penasihat Perniagaan Asean (ASEAN-BAC Malaysia), Tan Sri Dr Munir Majid.

Terdahulu, Kerajaan Negeri kerjasama Invest Selangor menganjurkan Selangor International Business Summit (SIBS Summit) 2017 sebagai inisiatif menarik lebih tinggi jumlah pelaburan ke negeri itu.

Persidangan yang diadakan bermula tujuh hingga 17 September ini turut membuka peluang kepada penjenamaan Selangor sebagai destinasi pelaburan terbaik Asia Tenggara.

Optimis pertumbuhan daya saing pelaburan negeri mampu diraih, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri kekal komited melaksanakan pelbagai pembaharuan dalam mengukuhkan agenda pelaburan ekonomi negeri.

Katanya, ia termasuk tumpuan terhadap sektor industri makanan dan minuman, automotif, aeroangkasa serta bioteknologi.

“Prospek pelaburan Kerajaan Negeri kini berada pada landasan terbaik. Atas prinsip itu, ia meletakkan keyakinan bagi Selangor bahawa komuniti perniagaan ASEAN ini mampu berdaya saing dan bersedia untuk menjana perolehan pertumbuhan ekonomi ASEAN,” katanya.