Categories
SELANGOR

#SmileSelangor terima sambutan hebat, peluang temui Syafiq Kyle

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 SEPT: Peraduan #SmileSelangor terus menerima sambutan hebat pengguna media sosial dengan ribuan penyertaan sejak dibuka, pada 1 September lalu.

Dengan meletakkan hashtag SmileSelangor, kebanyakan penyertaan memuji segala inisiatif disediakan Kerajaan Negeri untuk kebajikan rakyat.

Ia termasuk, kemudahan wifi percuma, Skim Peduli Sihat, Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor dan air percuma.

MBSmileTerdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turut menyatakan kegembiraannya dengan sambutan serta maklum balas positif diterima menerusi #SmileSelangor.

“Smart Selangor sedang aktif menjalankan peraduan #SmileSelangor dengan pembabitan menggalakkan daripada rakyat.

“Saya ambil maklum semua maklum balas rakyat berkenaan inisiatif kami melalui hashtag #SmileSelangor itu dan meraikan keterbukaan serta penerimaan rakyat terhadap usaha Kerajaan Negeri,” katanya menerusi Facebook.

Bakal ditutup pada 14 September ini, #SmileSelangor menawarkan hadiah RM1,000 kepada pemenang pertama, kedua RM300 dan ketiga RM200.

Lebih menarik, tiga pemenang itu juga berpeluang menyertai sesi ‘meet and greet’ bintang drama sensasi, Mencintaimu Mr Photographer, Syafiq Kyle pada 17 September ini di Black Box SACC Mall.