Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia diniaga bercampur-campur, Top Glove paling untung

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Bursa Malaysia bercampur-campur pada tengah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung dalam kebanyakan saham wajaran tinggi dengan aktiviti belian dalam saham permodalan kecil dan saham berharga rendah, dalam dagangan yang turun naik, kata peniaga.

Pada 12.30 tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.45 peratus atau 6.98 mata kepada 1,547.98 daripada 1,554.96 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks barometer dibuka rendah 0.21 mata kepada 1,554.75 dan bergerak antara 1,538.26 dan 1,558.95 sepanjang sesi pagi.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 566 berbanding 444, manakala 388 kaunter tidak berubah, 636 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 5.82 bilion saham bernilai RM3.39 bilion.

Seorang penganalisis berkata pasaran ekuiti tempatan yang turun naik turut menjejaki bursa serantau, yang berada pada aliran penurunan, walaupun prestasi bercampur-campur di Wall Street.

Dow Jones Industrial Average semalaman susut 0.21 peratus manakala S&P 500 meningkat 0.36 peratus.

Nikkei 225 susut 0.14 peratus, Indeks Hang Seng jatuh 0.21, Indeks Harga Saham Komposit Korea (KOSPI) merosot 0.21 peratus dan Indeks Straits Times berkurangan 0.94 peratus.

Rakuten Trade Sdn Bhd berkata FBM KLCI dijangka terus turun naik dengan kecenderungan penurunan dengan paras sokongan segera dilihat pada 1,550 manakala paras halangan pada 1,570.

Daripada saham wajaran tinggi, Maybank merosot dua sen kepada RM7.47, Top Glove naik 62 sen kepada RM26.02, Public Bank susut 30 sen kepada RM16.66, Tenaga berkurangan dua sen kepada RM11.00, dan Hartalega susut enam sen kepada RM16.44.

Dalam kalangan saham cergas, CME dan XOC, masing-masing menambah 2.5 sen kepada 12 sen dan 27.5 sen, dan Konsortium Transnasional meningkat 12 sen kepada 17 sen.

Kaunter paling rugi — Nestle merosot RM1.70 kepada RM139.00, Petronas Dagangan susut 52 sen kepada RM20.70 dan Carlsberg jatuh 40 sen kepada RM22.48.

Sementara itu, Top Glove merupakan kaunter paling untung, diikuti Dutch Lady yang naik 58 sen kepada RM40.28 dan Supermax meningkat 42 sen kepada RM20.22.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 16.52 mata kepada 11,157.48, Indeks FBMT 100 merosot 20.98 mata kepada 10,960.17, bagaimanapun FBM 70 naik 83.45 mata kepada 14,501.30.

Indeks FBM Emas Shariah menokok 13.10 mata kepada 13,200.19 dan FBM ACE naik 147.18 mata kepada 10,036.35.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 74.85 mata kepada 12,839.02, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.42 mata kepada 140.16, dan Indeks Perladangan turun 37.05 mata kepada 7,039.29.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

Selangor sasar komponen utama lebar jaringan pelaburan serantau

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 SEPT: Kerajaan Negeri memberi jaminan untuk meletakkan dasar perniagaan terbaik menerusi teras pembangunan dan prinsip utama dalam urus tadbir pelaburan negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin berkata, jaminan itu diyakini mampu mewujudkan persekitaran pelaburan terbaik kepada pelabur dari dalam dan luar negara.

“Mewakili Kerajaan Selangor, saya memberi jaminan untuk mewujudkan dasar perniagaan yang sangat mesra dengan meletakkan premium besar dalam urus tadbir dengan akauntabiliti ketelusan dan pengurusan.

AZMIN (1)“Selangor sebagai negeri unik dengan ciri kepelbagaian etnik, bahasa dan agama diyakini mampu mewujudkan kekuatan untuk menyokong pembangunan elemen itu.

“Kekuatan ini terhasil berteraskan kepada teras perpaduan dan urus tadbir terbaik untuk kekal menyokong dasar kesederhanaan juga prinsip integriti yang diamalkan di negeri ini,” katanya pada Selangor ASEAN Business Conference 2017, di Setia City Centre Mall, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS), Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim; Pengarah Esekutif Invest Selangor, Dato’ Hassan Azhari dan Pengerusi Malaysia bagi Majlis Penasihat Perniagaan Asean (ASEAN-BAC Malaysia), Tan Sri Dr Munir Majid.

Terdahulu, Kerajaan Negeri kerjasama Invest Selangor menganjurkan Selangor International Business Summit (SIBS Summit) 2017 sebagai inisiatif menarik lebih tinggi jumlah pelaburan ke negeri itu.

Persidangan yang diadakan bermula tujuh hingga 17 September ini turut membuka peluang kepada penjenamaan Selangor sebagai destinasi pelaburan terbaik Asia Tenggara.

Optimis pertumbuhan daya saing pelaburan negeri mampu diraih, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri kekal komited melaksanakan pelbagai pembaharuan dalam mengukuhkan agenda pelaburan ekonomi negeri.

Katanya, ia termasuk tumpuan terhadap sektor industri makanan dan minuman, automotif, aeroangkasa serta bioteknologi.

“Prospek pelaburan Kerajaan Negeri kini berada pada landasan terbaik. Atas prinsip itu, ia meletakkan keyakinan bagi Selangor bahawa komuniti perniagaan ASEAN ini mampu berdaya saing dan bersedia untuk menjana perolehan pertumbuhan ekonomi ASEAN,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

SIBS Summit 2017 tingkat jaringan pelaburan serantau

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 SEPT: Komponen kedua persidangan Selangor International Business Summit (SIBS Summit) 2017 diteruskan menerusi penganjuran Selangor Asean Business Conference 2017, Setia City Convention Centre (SCCC), di sini, hari ini.

Dirasmikan, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, komponen kedua menyaksikan 20 panelis penceramah dari Asia Tenggara dan luar.

Mohamed Azmin berkata, persidangan itu diyakini mampu mengukuhkan lagi peranan Selangor sebagai gerbang utama destinasi pelaburan Asia Tenggara.

ASEAN BUSINESS (5)“Pertemuan ini tentunya dapat mengukuhkan hubungan baik negara Asia Tenggara ketika kita terus meningkatkan jaringan hubungan dagang serantau.

“Pastinya, persidangan ini membolehkan pelbagai perbincangan dua hala dapat dijayakan untuk memperlebar jaringan perhubungan pelaburan Asia Tenggara yang semakin meningkat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian itu.

Negara serantau yang mengambil bahagian pada persidangan kedua komponen terbabit antaranya Thailand, Singapura, Filifina, Myanmar dan Vietnam juga wakil dari panelis tempatan termasuk panelis China serta United Kingdom.

Sementara itu, Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS), Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim dalam ucapan aluan berkata, komponen kedua persidangan turut meninjau sebarang keperluan Selangor untuk mensasarkan peluang pelaburan tinggi.

“Kami sedang meneliti sebarang kekuatan negeri untuk meneroka peluang pelaburan pembuatan bagi memenuhi keperluan pasaran ASEAN dan antarabangsa. Ini termasuk tuntutan memenuhi keperluan industri F&B, automotif, aeroangkasa dan bioteknologi dengan keyakinan kita dapat menembusi pasaran itu,” katanya.

Terdahulu, komponen pertama persidangan memberi tumpuan penganjuran jaringan Selangor Smart City & Future Commerce Convention 2017.

Kerajaan Negeri dengan kerjasama Invest Selangor menganjurkan SIBS Summit 2017 yang diadakan bermula tujuh hingga 17 September ini.