Categories
NASIONAL

Identiti 23 mangsa sudah dikenalpasti

SHAH ALAM, 15 SEPT: Identiti kesemua 23 mangsa tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, semalam dikenal pasti menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata proses pengecaman mangsa juga selesai dijalankan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kataya, pihaknya akan mengatur pertemuan dan menghubungi ibu bapa dan waris mangsa untuk memaklumkan perkembangan itu secepat mungkin.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Jabatan IPFN, Dr Mohd Shah Mahmud dan pasukannya kerana membantu mempercepatkan proses pengurusan tragedi nasional ini.

“Kami berharap dan berdoa tragedi ini adalah terakhir seperti ini dan tindakan pencegahan perlu dilaksanakan dan dipatuhi semua pihak nanti,ā€¯katanya dalam kenyataan menerusi akaun Facebook rasminya, hari ini.

Ujian DNA semua mayat mangsa dapat diselesaikan lebih awal berbanding jangkaan kerana mendapat bantuan doktor dan petugas daripada Hospital Ampang dan Hospital Selayang.

Dalam kebakaran 5.10 pagi semalam, seramai 21 pelajar dan dua guru yang bertindak sebagai warden maut dalam kebakaran di dalam banglo tiga tingkat di Jalan Keramat Hujung, Datuk Keramat di sini, manakala enam lagi cedera.

Jenazah mangsa korban kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah mula dibawa keluar satu persatu dari IPFN, pada 4 petang tadi.

Sementara itu, dua pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terlibat dalam kebakaran semalam masih dalam keadaan kritikal dan masih belum sedarkan diri. – Bernama