Categories
SELANGOR

Selangor tinjau prospek pelaburan baru, jana ekonomi mampan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 SEPT: Kerajaan Negeri meninjau peluang pelaburan baru dengan mengambil pendekatan dasar terbuka bagi mengalu-alukan prospek berkenaan untuk meneruskan kecemerlangan pertumbuhan ekonomi negeri.

Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS), Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, kejayaan pelaburan Switzerland dan negara luar lain mendorong Kerajaan Negeri untuk lebih kompetetif menarik pelaburan negeri.

“Apabila kita menjalankan promosi bagi menarik pelabur luar ke Selangor, kita mempunyai sasaran tertentu dengan memberi tumpuan kepada pelabur sedia ada untuk mengembangkan lagi pelaburan negeri sementara mencari pelabur baru.

“Usaha ini dijalankan secara berterusan menerusi gerak kerja Invest Selangor menerusi lawatan kerja ke beberapa negara berpotensi.

TENG CHANG KHIM (1)“Inisiatif lain termasuk penganjuran persidangan antarabangsa yang diharap dapat menjadikan Selangor sebagai gerbang pelaburan ASEAN,” katanya selepas Majlis Perasmian Selangor ASEAN Business Conference 2017, di Setia Convention City Convention Centre, di sini, hari ini.

Terdahulu, beberapa kuasa besar ekonomi dunia antaranya Jepun, China, Taiwan dan Switzerland memilih Selangor sebagai destinasi pelaburan yang paling diyakini, di rantau ini.

Untuk rekod sehingga 2016, sebanyak 4,713 projek perkilangan diluluskan di Selangor dengan nilai pelaburan RM136 bilion.

Sejumlah RM70.3 bilion daripada jumlah itu adalah pelaburan tempatan sementara baki RM65.7 bilion pula pelaburan asing.

Pertumbuhan cemerlang itu menyaksikan Selangor berada pada tangga kedua selepas Johor yang memperoleh pelaburan tertinggi iaitu RM166 bilion, dalam tempoh sama.

Ia diikuti Sarawak dengan pelaburan bernilai RM101 bilion, Pulau Pinang (RM88.6 bilion) dan Kedah (RM58 bilion).