Categories
NASIONAL

Slogan transformasi kini hanya retorik politik

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 SEPT : Laungan transformasi yang diungkapkan Kerajaan Persekutuan kini hanya bersifat retorik politik tanpa wujudnya penumpuan kepada kepentingan pembangunan dan kebajikan masyarakat Malaysia secara menyeluruh.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kelemahan itu berpunca daripada amalan pentadbiran Putrajaya kini hanya dipimpin sebuah kerajaan korupsi yang berdepan krisis kepimpinan dan diragui kredibilitinya.

“Hari ini, negara berdepan krisis kepimpinan moral. Apa sahaja laungan transformasi yang dilaungkan itu hanya bersifat retorik.

putrajaya“Kepimpinan Putrajaya kini juga tidak mempunyai dasar kepelbagaian kukuh dan tidak mempunyai pendirian jelas yang akhirnya akan menimbulkan kekeliruan kepada rakyat.

“Sewajarnya kepimpinan yang baik adalah pemimpin yang mempunyai pendirian teguh sebagai asas dan prasyarat untuk meletakkan Malaysia ke landasan tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Dialog Malaysia Baru bersama Dato’ Menteri Besar di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah, petang ini.

Terdahulu, laungan Transformasi signifikan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak menerusi pembentukan agenda Transformasi Nasional 2050 sebagai idealogi pentadbirannya.

IMG_20170916_165642Bagaimanapun Mohamed Azmin berkata, keberkesanan prinsip Transformasi juga akan berjaya direalisasikan sekiranya negara mengamalkan perubahan struktur pentadbiran yang mengangkat prinsip demokrasi dan keadilan sejagat untuk masyarakat Malaysia.

“Ia perlu dilaksanakan secara menyeluruh menerusi perubahan struktur kepimpinan yang perlu dirombak dengan mengangkat sebuah kerajaan yang telus.

“Keutamaannya, kita juga perlu mempunyai komitmen untuk menyuburkan amalan demokrasi dalam negara dengan memberi peluang kepada rakyat untuk beri padangan untuk menggubal dasar.

“Saya yakin, sekiranya kalau kesediaan ini dibuat, transformasi itu bahkan prinsip Reformasi boleh dicapai untuk kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

=EZY=