Categories
NASIONAL

Dulu kita ‘Harimau’ sekarang cuma ‘Tikus’ – Azmin

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 SEPT: Kegemilangan Malaysia dulunya dikenali sebagai kuasa ekonomi serantau hanya tinggal lembaran sejarah ekoran kelemahan sistem pentadbiran Putrajaya kini, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, Putrajaya kini gagal membawa suara Malaysia ke persada antarabangsa apabila sekadar tunduk kepada kuasa ekonomi dunia dari negara luar khususnya, Amerika Syarikat.

“Malaysia pernah berada di kemuncak gemilang dan dihormati dunia. Pernah satu ketika seorang negarawan Malaysia berani menyatakan kepada Presiden Amerika Syarikat di Rumah Putih bahawa Malaysia tidak perlukan sogokan.

“Negara bertegas bahawa kita tidak boleh jual negara untuk kepentingan peribadi. Jangan rompak wang negara dengan menyerahkan Malaysia kepada kuasa asing.

IMG_20170916_165603“Malaysia juga dulunya dikenali Harimau, kini digelar tikus dan dilabel sebagai antara negara paling korup di dunia, puncanya kerana kemakmuran negara dimusnahkan tangan tidak bertangungjawab,” katanya.

Pada 12 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengadakan pertemuan di Rumah Putih bersama Presiden Donald Trumph – didakwa sebagai simbolik lembaran baharu 60 tahun Amerika Syarikat yang menjalinkan hubungan dua hala bersama Malaysia.

Media tempatan melaporkan, pertemuan itu merangkumi mesyuarat delegasi melibatkan anggota dan penasihat pentadbiran Trump serta para menteri dan pegawai kanan kerajaan Malaysia.

IMG_20170916_165642Bagaimanapun, Reuters melaporkan, lawatan memberi isyarat tertentu ketika siasatan jenayah oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mengaitkan Najib masih berjalan.

Terdahulu, Mohamed Azmin bercakap pada sesi Dialog Malaysia Baru bersama Dato’ Menteri Besar di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah, petang ini.

Sesi dialog dipengerusikan, Aktivis Budaya Malaysia, Eddin Khoo dan turut dihadiri lebih 400 tetamu melibatkan penyertaan daripada golongan mahasiswa, pertubuhan bukan kerajaan, aktivis, penganalisis, ahli politik dan pengamal media.

Penganjuran forum berkenaan seiring sambutan Hari Malaysia ke-55 meraikan penyatuan Semenanjung, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak.

=EZY=